Images
  • newcastle v liverpool
    Gambar fail perlawanan antara Newcastle United dengan Liverpool pada 26 Jul 2020 (Gambar: LAURENCE GRIFFITHS/AFP)

Pelabur Singapura antara kumpulan dalam 'rundingan tahap maju' beli Newcastle United

SINGAPURA: Sekumpulan tiga pelabur termasuk usahawan tempatan Nelson Loh dan Terence Loh berkata mereka berada di "tahap lanjutan rundingan" untuk membeli kelab Liga Perdana England, Newcastle United.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, kumpulan Bellagraph Nova, yang diasaskan bersama oleh Encik Nelson Loh, Encik Terence Loh dan Cik Evangeline Shen, mengesahkan pada Sabtu (15 Ogos) bahawa pihaknya sedang merundingkan pembelian kelab tersebut. Kumpulan itu diasaskan oleh Cik Shen.

"Pengasas Bellagraph Nova Group berada pada tahap maju rundingan setelah memberikan LOI (Surat Hasrat atau Letter of Intent) dan juga Bukti Dana pada 10 Ogos," menurut kenyataan kumpulan yang berpangkalan di Paris itu.

"Pengasas BN (Bellagraph Nova) sudah menyatakan kesediaan mereka untuk secara besar-besaran menyumbang kepada pembangunan kelab melalui struktur kukuh dan antarabangsa mereka serta tumpuan pada perniagaan/sukan."

Menurut laman kumpulan itu, ia mempunyai 31 perniagaan, dan menjana pendapatan AS$12 bilion pada 2019. Kumpulan itu mempunyai pelaburan dalam "semua bidang perniagaan utama", dari kewangan hingga kepada sukan, barangan kesihatan dan produk mewah, hiburan dan robotik, menurut kumpulan itu dalam jawapannya kepada pertanyaan Mediacorp.

Bulan lalu, satu cadangan Arab Saudi untuk mengambil alih Newcastle United gagal setelah konsortium yang merangkumi dana negara Arab Saudi PIF, Amanda Staveley's PCP Capital Partners dan Reuben Brothers menarik diri.

Konsortium itu menyalahkan proses pemeriksaan yang berlarutan dan ketidaktentuan global ekoran pandemik COVID-19 sebagai penyebab keputusan mereka untuk menarik diri daripada perjanjian itu.

- CNA/TQ/tq

Top