Images
  • tokyo
    (Gambar: Philip Fong)

Pegawai kanan IOC ramal 'masalah besar' anjur Sukan Olimpik Tokyo pada 2021

SYDNEY: Seorang pegawai kanan Sukan Olimpik memberi amaran bahawa Sukan Olimpik Tokyo yang ditangguhkan sehingga tahun depan akan berdepan dengan "masalah sebenar" dan vaksin yang berjaya dihasilkan tidak mungkin dapat membendung ancaman virus korona COVID-19.

John Coates, wakil Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi Tokyo 2020 berkata bahawa para pegawai akan memutuskan pada Oktober jika dan bagaimana temasya sukan itu boleh diadakan pada Julai 2021.

Beliau memberitahu rundingan yang dianjurkan oleh gergasi media Australia, News Corp, bahawa Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dengan jelas mengatakan bahawa Sukan Olimpik Tokyo tidak boleh ditunda buat kali kedua.

"Kita tidak boleh menundanya sekali lagi dan kita perlu membuat andaian bahawa tiada penawar bagi COVID-19 atau jika ada vaksin sekalipun, ia tidak cukup untuk menampung permintaan dunia," katanya.

Tanpa jaminan dalam bentuk vaksin yang mudah diperolehi, ia boleh menimbulkan banyak cabaran dari segi pemeriksaan yang perlu dijalankan ke atas berpuluh-puluh ribu orang dari setiap pelosok dunia, katanya.

"Kita akan berdepan dengan masalah yang besar kerana kita mempunyai ramai atlit yang datang daripada 206 negara," kata Coates.

"Kita akan menyambut seramai 11,000 atlit, 5,000 pegawai teknikal dan jurulatih, 20,000 wakil media, kita mempunyai seramai 4,000 petugas dalam jawatankuasa penganjur di sana buat masa ini dan terdapat pula 60,000 sukarelawan yang akan berkhidmat di sana," katanya.

"Pasti ramai orang."

Coates berkata jika terdapat tanda-tanda bahawa pandemik ini dapat dikawal, meskipun tidak dapat dihapuskan sama sekali menjelang Oktober, para pegawai akan melakar "senario-senario berbeza di mana temasya sukan itu masih boleh diadakan".

"Mahukah kita mengkuarantin Perkampungan Olimpik? Perlukah semua atlit yang tiba di sana menjalani kuarantin? Adakah kita akan menyekat para penonton di lokasi-lokasi pertandingan? Perlukah kita mengasingkan para atlit daripada zon pihak media?"

Top