Images
  • silat ferdous
    Sheik Ferdous Sheik Alauddin (kiri) bersama adiknya Sheik Farhan Sheik Alauddin sejurus selepas memenangi perlawanan akhirnya. (Gambar: BERITAmediacorp)

Pasukan silat negara rangkul lagi 3 emas, 4 perak & 6 gangsa; pecahkan rekod terbaik

SINGAPURA: Pasukan silat negara merangkul lagi tiga emas, empat perak dan enam gangsa bagi kategori tanding Kejohanan Pencak Silat Sedunia ke-18 hari ini (16 Dis).

Ini sekaligus membuat jumlah pingat yang berjaya diraih kini sebanyak enam emas, enam perak dan tujuh gangsa.

Jumlah itu memecahkan rekod terbaik yang dicatat pasukan negara iaitu sebanyak empat emas, empat perak dan sembilan gangsa semasa Singapura menjadi tuan rumah pada tahun 2004.

PINGAT EMAS PERTAMA KATEGORI TANDING DIMENANGI SHEIK FERDOUS SHEIK ALAUDDIN

Kemenangan kategori tanding yang pertama berjaya dicatat pasukan negara adalah bagi Kelas I menerusi Sheik Ferdous Sheik Alauddin.

Ini adalah kali pertama beliau berjaya mendapat pingat emas dalam kejohanan sedunia tersebut.

Ferdous mendominasi pusingan pertama, jauh meninggalkan pesaingnya dari Vietnam, Nguyen Van Tri.

Namun, kontroversi tercetus pada pusingan ketiga selepas pesilat Vietnam itu menarik diri daripada perlawanan kerana tidak setuju dengan beberapa keputusan yang dibuat oleh wasit dan para juri.

"Pesaing saya memang mempunyai keazaman yang tinggi tetapi mungkin pihak jurulatihnya yang membuat keputusan itu. Saya rasa kalau boleh tidak mahu beliau berhenti," kongsi Ferdous.

Perkara itu, bagaimanapun, tidak menghambat pesilat berusia 22 tahun ini untuk terus menyasarkan kejayaan seterusnya selepas ini.

"Selepas kejohanan ini, saya bukan lagi juara dunia. Saya akan terus kerja keras dan bersungguh-sungguh dan ingin melakukan yang terbaik bagi kejohanan besar seterusnya iaitu di Sukan Asia," ujar Ferdous.

SEJARAH DICATAT BAGI SHEIK FARHAN DAN NURUL SUHAILA

Adiknya pula, Sheik Farhan Sheik Alauddin, mencipta sejarah dalam kemenangannya dengan menjadi pesilat negara pertama menjadi juara dunia sebanyak tiga kali.

Farhan mengalahkan pesaingnya dari Vietnam, Pham Khac Truong dengan keputusan 5-0.

Kemenangan ini menurutnya lebih manis lagi kerana ia bukan saja jatuh pada hari jadinya tetapi juga melihat lebih ramai rakan sepasukan yang lain berjaya mendapat pingat emas untuk negara.

"Memang istimewa tetapi saya juga rasa bangga melihat ramai lagi rakan-rakan saya memenangi pingat emas dan kami berjaya mengatasi rekod yang dahulu.

"Ramai yang mengatakan pesilat lain seperti Ferdous dan Suhaila tidak begitu bagus tetapi hari ini kita melihat mereka berjaya. Sama juga bagi rakan saya yang lain seperti Iqbal dan Nurzuhairah yang memenangi pingat emas bagi kategori kesenian," kata Farhan yang berusia 21 tahun.

Bagi srikandi negara, Nurul Suhaila Mohd Saiful kemenangan ini begitu bermakna baginya selepas mencuba nasib dalam tiga edisi lalu kejohanan tersebut.

"Saya berasa amat bangga dan berterima kasih kepada semua yang memberi sokongan sehingga saya dapat mencapai kejayaan ini," kata pesilat berusia 23 tahun itu.

Beliau mengalahkan pesilat Thailand, Janejira Wankrue dengan keputusan 5-0.

Seorang lagi pesilat negara yang berpotensi untuk menambahkan satu lagi pingat emas, bertanding pada malam nanti.

Hazim akan bertarung dengan Mohd Faizul Nasir dari Malaysia.

Berusia 16 tahun. Hazim juga merupakan pesilat termuda negara mara ke pusingan akhir selepas menundukkan pesilat Vietnam, Nguyen Dinh Tuan dengan keputusan TKO.

- BERITAmediacorp/ru

Top