Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pasukan Liga Perdana Singapura sambung semula latihan

Selepas lebih lima bulan Liga Perdana Singapura (SPL) terhenti, pasukan-pasukan liga itu kini giat menyambung semula latihan sepenuhnya sejak Selasa lalu (1 Sep). Ini meskipun masih belum dapat dipastikan bila pertarungan akan disambung semula.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Selepas lebih lima bulan Liga Perdana Singapura (SPL) terhenti, pasukan-pasukan liga itu kini giat menyambung semula latihan sepenuhnya sejak Selasa lalu (1 Sep). Ini meskipun masih belum dapat dipastikan bila pertarungan akan disambung semula.

BERITAmediacorp 'turun padang' untuk meninjau sentimen para pemain dan jurulatih pasukan-pasukan SPL.

LATIHAN SEPENUHNYA BERITA BAIK UNTUK KELAB-KELAB SPL

Selepas hanya tiga pusingan perlawanan, Liga Perdana Singapura (SPL) terpaksa digantung pada 24 Mac akibat penularan COVID-19.

Tiga bulan kemudian, kesemua sembilan kelab SPL, termasuk kelab luar negara Brunei DPMM FC, dibolehkan menyambung semula latihan apabila kelonggaran diberikan.

Namun, mereka hanya boleh berlatih dalam kumpulan lima orang serta tidak boleh melakukan latihan menanduk bola.

Pemain tengah Geylang International FC, Firdaus Kasman berkata: "Kita akan hilang taring di situ dan latihan sebegini, kita perlu membuatnya setiap hari. Kalau dua, tiga, empat bulan tidak buat, pasti akan 'karat'."

Berita baik yang dinanti-nantikan setiap pasukan muncul seminggu lalu apabila para pemain diberi lampu hijau untuk mulakan latihan sepenuhnya.

"Memang saya gembira dapat turun padang lagi dan jumpa rakan sepasukan saya. Perasaannya lain apabila kita jumpa menerusi Zoom dan secara langsung, dan itu membakar semangat saya dan pasti rakan sepasukan yang lain," ujar Adam Swandi, pemain tengah Lion City Sailors FC.

Firdaus turut mengongsi sentimen yang sama: "Kita nanti-nantikan latihan sepenuhnya disambung semula sebab sudah lima, enam bulan kita buat latihan, tidak boleh buat ini, tidak boleh buat itu. Kita amat gembira dan kita bersyukur."

Ketua Jurulatih Geylang International FC, Mohd Noor Ali turut berasa gembira kerana akhirnya dapat memikirkan strategi permainan bagi pasukannya.

"Ya, sangat positif buat masa ini, sekurang-kurangnya ada perkembangan. Sekarang kita balik kepada latihan seperti biasa tetapi ada banyak sekatan yang perlu kita ikut agar semua selamat," katanya.

Antara sekatan-sekatan yang masih dilaksanakan termasuk sesi latihan tidak boleh melebihi 25 pemain dan tujuh jurulatih atau pegawai.

Waktu rehat harus diberikan dengan kerap untuk membersihkan tangan.

HARAPAN KELAB SPL UNTUK MUSIM KALI INI

Meskipun belum ada pengumuman bila liga akan diteruskan, kebenaran untuk menjalankan latihan sepenuhnya memberikan secebis harapan kepada pemain.

"Kita betul-betul mahukan musim liga untuk dimulakan sebab semua sedang berusaha yang terbaik di dalam liga dan menjulang kejuaraan," ujar Firdaus.

Pasukan-pasukan SPL seperti Lion City Sailors FC ingin memperbaiki persembahan mereka, perlawanan demi perlawanan
manakala Geylang International FC pula berharap dapat mengakhiri musim ini di tangga ketiga teratas.

Walaupun sudah tidak sabar untuk bermain semula bagi baki 13 perlawanan, jurulatih seperti Noor Ali akur akan risikonya.

Jika hanya satu pemain sahaja dijangkiti COVID-19, seluruh pasukan - malah juga seluruh liga - akan terganggu lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan