Images
  • female soccer players afghan
    (Gambar: Reuters)

Pasukan bola sepak wanita Afghanistan berdepan masa depan tidak pasti

REUTERS: Pasukan bola sepak wanita Afghanistan tidak pasti tentang masa depan mereka setelah diterbangkan keluar ke Australia apabila Taliban menawan Kabul 15 Ogos lalu, menurut kapten pasukan Shabnam Mobarez pada Selasa (5 Okt).

Australia membawa keluar lebih 50 pemain bola sepak wanita, atlit dan tanggungan mereka dari Afghanistan.

Mobarez, yang tinggal di Amerika Syarikat, berkata pemain Afghanistan itu dijaga dengan baik di Australia namun mereka masih bingung tentang masa depan mereka.

"Keadaan sangat tidak menentu, situasi yang mereka hadapi sekarang," kata Mobarez kepada Sky Sports. "Pengalaman keluar dari negara itu satu trauma buat mereka. Kini mereka cuba untuk menyesuaikan diri kepada norma kehidupan yang baru.

"Saya pasti mereka dalam keadaan bingung dan terkejut kerana mereka terpaksa meninggalkan anggota keluarga dan teman-teman mereka."

Semasa pemerintahan mereka dari 1996 hingga 2001, Taliban menyekat hak wanita termasuk melarang mereka daripada mendapatkan pendidikan dan bekerja.

Pada bulan lalu, seorang pegawai kanan Taliban memberitahu saluran SBS News Australia bahawa wanita tidak akan dibenarkan untuk bermain kriket, satu sukan popular di Afghanistan - atau mungkin sukan lain - kerana ia "tidak penting" dan tubuh mereka mungkin terdedah.

Mobarez berkata dengan Taliban kembali berkuasa masa depan sukan bola sepak wanita kini terancam.

"Pasukan ini sudah melalui banyak pengalaman yang menakutkan sebelum ini," katanya. "Memang sukar bagi seorang wanita Afghanistan untuk menjadi seorang atlit di Afghanistan. Itu hakikatnya.

"Saya begitu sedih kerana mereka perlu melalui banyak cabaran, kini seolah-olah perjuangan itu sudah berakhir. Walaupun mereka dapat keluar rumah, keadaan masih berbahaya dan mereka berdepan risiko dibunuh."

- Reuters/HA/ha

Top