Images
  • pogba diallo
    Bintang-bintang Manchester United Paul Pogba (kiri) and Amad Diallo membawa bendera Palestin selepas perlawanan Liga Perdana Inggeris menenteng Fulham di Old Trafford pada 18 Mei 2021. (Gambar: Laurence Griffiths, Pool/AP)

Pandangan pemain mesti dihormati, kata Solskjaer ekoran paparan bendera Palestin

MANCHESTER: Pengurus Manchester United Ole Gunnar Solskjaer berkata pandangan para pemain bola sepak perlu dihormati berikutan Paul Pogba dan Amad Diallo membawa bendera Palestin selepas seri 1-1 menentang Fulham dalam perlawanan Liga Perdana pada Selasa (18 Mei).

Pertempuran berterusan antara kumpulan bersenjata Israel dengan Hamas yang memerintah Gaza adalah yang paling buruk dalam masa beberapa tahun. Sehingga kini, tiada isyarat jelas sebarang genjatan senjata akan segera berlaku meskipun terdapat gesaan antarabangsa untuk menghentikan pertempuran yang sudah berlarutan lebih seminggu itu.

Para pemain Leicester City, Hamza Choudhury dan Wesley Fofana juga memaparkan bendera Palestine selepas perlawanan akhir Piala FA pada Sabtu. Solskjaer berkata para pemainnya berhak mempunyai pandangan mereka sendiri.

"Saya rasa kami perlu ada pemain dari latar belakang berbeza, budaya berbeza, negara berbeza dan saya rasa kita perlu menghormati pandangan mereka sekiranya ia berlainan daripada orang lain," kata Solskjaer kepada para wartawan.

"Jika pemain-pemain saya memikirkan tentang hal selain bola sepak, itu adalah satu perkara positif dan saya rasa kita sebelum ini pernah melihatnya dengan sesetengah pemain yang mereka sayangi.

"Marcus Rashford, sebagai contoh, perubahan yang beliau bawa. Kami menghormati hak mereka untuk mempunyai pandangan yang berbeza."

Penyerang warga Israel dari kelab Belanda PSV Eindhoven, Eran Zahavi, memberi tindak balas kepada Pogba dan Diallo dengan mengirim gambar pasangan itu yang disunting di Instagram, menggantikan bendera Palestin yang mereka bawa kepada bendera Israel.

"Terima kasih," tulis Zahavi dalam satu kapsyen yang menyertakan bendera Israel. "Kami menghargai sokongan anda di seluruh dunia." 

- REUTERS/FZ/fz

Top