Images
  • sepak takraw asian games
    Pemain Singapura Safiee Muhammad A'fif (jersi merah) sedang beraksi semasa Sukan Asia 2018. (Gambar: SportSG)

Olympic Channel jalin kerjasama dengan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa

BERITAmediacorp: Sukan sepak takraw bakal diberikan pendedahan lebih meluas di persada antarabangsa, hasil kerjasama baru yang dijalin antara Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan Olympic Channel atau Saluran Olimpik.

Saluran Olimpik merupakan media global berbilang wadah kendalian Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang menyiarkan berita, rancangan dan acara-acara berkaitan sukan Olimpik sepanjang tahun.

Dalam kenyataan media yang diterbitkan baru-baru ini, saluran tersebut menyatakan kerjasama terbaru itu dijalin dengan badan-badan pentadbir antarabangsa bagi enam sukan - catur (chess), bot naga (dragon boat), gusti tangan (armwrestling), icestocksport, menyelamat (lifesaving) dan sepak takraw.

Ini menjadikan jumlah kerjasama wadah siaran itu dengan badan-badan antarabangsa kepada 91.

PIALA DUNIA ISTAF DISIARKAN OKTOBER

"Saluran Olimpik menyediakan wadah bagi mempromosi semua jenis sukan dan atlet di bawah Gerakan Olimpik," kongsi pengurus besar Olympic Channel Mark Parkman dalam kenyataan tersebut.

"Kami mengalu-alukan kerjasama ini untuk membantu meluaskan pendedahan sukan-sukan dan para atlet ini kepada peminat sedia ada dan penonton baru seantero dunia."


(Dari kiri) Pengarah perhubungan Saluran Olimpik John Palfrey, Timbalan Presiden ISTAF Boonchai Lorhpipat dan Setiausaha Agung ISTAF Abdul Halim Kadir (Gambar: ISTAF)

Setiausaha Agung ISTAF Abdul Halim Kadir dalam kenyataannya pula berkata: "Kerjasama ini membuka laluan bagi ISTAF dan anggota sukan sepak takraw untuk memaparkan dan mendedahkan secara meluas sukan sepak takraw kepada dunia sukan dan masyarakat antarabangsa yang lebih meluas."

Memberikan perincian lanjut semasa dihubungi BERITAmediacorp hari ini, Encik Abdul Halim mendedahkan antara acara utama sukan sepak takraw yang akan disiarkan saluran tersebut adalah Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF yang berlangsung di Goa, India, dari 1 hingga 7 Oktober ini.

"ISTAF amat berbesar hati permainan yang popular sejak tahun-tahun 1960-an di Geylang Serai kini mendapat satu lagi pengiktirafan di peringkat dunia," ujar Encik Abdul Halim lagi kepada BERITAmediacorp, selain merakam penghargaan kepada "jurulatih dan pemain sepak takraw terduhulu" yang menubuhkan asas bagi kemajuan yang dicapai sukan itu hari ini.

"ISTAF yakin sepak takraw akan menjangkaui pengikut yang lebih meluas dan ini akan menyemai benih-benih kemajuan lanjut sukan sepak takraw di bawah gerakan Olimpik."

- BERITAmediacorp/TQ/tq

Top