Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Olimpik Tokyo: Chong Wei sedih baca komen negatif terhadap pemain badminton M'sia

Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 Lee Chong Wei sedih dengan komen-komen negatif yang dilemparkan secara online terhadap pemain badminton negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Olimpik Tokyo: Chong Wei sedih baca komen negatif terhadap pemain badminton M'sia

Lee Chong Wei. (Gambar: Andy Buchanan/AFP)

Diterbitkan : 26 Jul 2021 09:08AM Dikemas Kini : 26 Jul 2021 09:19AM

KUALA LUMPUR: Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 Lee Chong Wei sedih dengan komen-komen negatif yang dilemparkan secara online terhadap pemain badminton negara itu.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik bagi badminton perseorangan lelaki sebanyak tiga kali itu berkata, sebagai bekas rakan sepasukan, beliau kecewa dengan sejumlah komen online yang memberikan komen negatif terhadap pemain badminton, selepas mengalami kekalahan dalam perlawanan mereka di Tokyo.

“Saya amat terasa… Apa yang mahu saya katakan ialah, saya kenal mereka. Mereka turun ke gelanggang dengan hanya satu tujuan, satu sasaran. Untuk menang perlawanan demi bendera di dada, untuk buatkan kita bangga.

“Tiada atlit yang mahu kalah. Tetapi itulah kenyataan, setiap perlawanan, pasti ada yang kalah, ada yang menang. Kadang-kadang ia bukan hari kita. Yang layan depan TV pun dah kena sakit dada dan kecewa, apatah lagi pemain dalam gelanggang? Bukankah kita sepatutnya terus menyokong mereka?

“Tiada siapa yang mahu turun gelanggang dan kalah. Pemain-pemain ini pernah bawakan kegembiraan. Jangan kutuk dan tinggalkan mereka apabila mereka kalah satu perlawanan. Sokonglah mereka. Sokong Malaysia. Nota: Chan Peng Soon, Goh Liu Ying, pemain muda, saya bangga dengan anda. Rakyat Malaysia yang sejati, bangga dengan anda,” kataya dalam akaun media sosialnya.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 Peng Soon-Liu Ying, gagal layak ke suku akhir acara beregu campuran selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam perlawanan Kumpulan D di Musashino Forest Sport Plaza, Tokyo.

Selepas tewas dalam perlawanan pertama kepada pasangan Hong Kong Tang Chun Man-Tse Ying Suet 18-21, 21-10, 16-21 semalam, pasangan nombor tujuh dunia itu tewas kepada pasangan Jerman Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich 12-21, 15-21, hari ini.

Peng Soon-Liu Ying akan menamatkan cabaran mereka di Sukan Olimpik Tokyo dengan bertemu pasangan nombor tiga dunia dari China, Wang Yilyu-Huang Dong Ping, esok.

Sementara itu, Liu Ying yang bermain dengan keadaan kakinya yang cedera, memuat naik hantaran perasaan kecewanya di akaun Instagramnya, namun berazam untuk memberikan 100 peratus pada perlawanan terakhirnya.

“Selepas perlawanan, saya masih tidak boleh berasa tenang sehingga sekarang. Saya tahu jika kita kalah, kita kalah. Lawan kita tidak akan bersimpati hanya kerana kita cedera, tiada yang akan bertimbang rasa jika anda kalah.

“Lagipun, keputusan lebih penting dari perjalanannya. Anda boleh kata saya tidak bermain dengan baik, saya tidak berada dalam keadaan terbaik, tetapi jangan lupakan segala usaha saya. Saya lupakan tentang kecederaan saya. Biar saya katakan, saya amat kecewa dengan diri saya,” katanya.

Peng Soon turut memohon maaf kepada para penyokong kerana gagal capai apa yang diharapkan menerusi akaun media sosialnya.

“Ia bukanlah prestasi terbaik, jadi kami minta maaf. Kami juga mahu menang perlawanan ini dan telah berlatih untuk menghadapi Olimpik sejak sekian lama. Tidak mengapa Liu Ling, kita menang bersama dan kalah pun bersama,” katanya.

Selain Peng Soon-Liu Ying, pasangan beregu wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean juga menghadapi nasib yang sama, selepas tewas perlawanan kedua Kumpulan A mereka ketika menentang pasangan nombor satu dunia Sayaka Hirota-Yuki Fukushima 21-17,15-21, 8-21.

Pasangan yang pertama kalinya layak ke Sukan Olimpik, sebelum itu tewas kepada pasangan Indonesia Greysia Polii-Apriayani Rahayu dalam perlawanan permbukaan kumpulan pada Sabtu, berpeluang untuk sekurang-kurangnya menang satu perlawanan ketika bertemu pasangan Great Britain, Chloe Birch-Lauren Smith.

Hanya dua pasangan pada peringkat kumpulan layak ke suku akhir.

Sebagai rangkaian Sukan Olimpik, Mediacorp akan membawakan liputan meluas Sukan Olimpik Tokyo 2020. Lungsuri laman mediacorp.sg/tokyo2020 untuk butiran lanjut.   

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan