Images
  • Tokyo Olympic
    (Gambar: REUTERS/Issei Kato/File Photo)

Olimpik: Tokyo akan bincang dengan FINA minggu ini

TOKYO: Penganjur sukan Olimpik Tokyo 2020 merancang untuk mengadakan perbincangan dengan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) minggu ini.

Demikian menurut seorang pegawai kanan badan tersebut setelah persekutuan itu menyatakan ia sedang menimbangkan semula sama ada untuk menganjurkan pusingan kelayakan bagi acara terjun cantik pada bulan ini.

"Kami sedar bahawa mereka berniat untuk membatalkannya. Dalam masa yang sama, kami masih cuba untuk mengesahkan perinciannya dan kami perlu mengadakan perbincangan lanjut dengan mereka," kata Timbalan Pengarah Eksekutif Biro Operasi Sukan Tokyo 2020, Yasuo Mori, hari ini (4 Apr).

"Kami mahu mengadakan perbincangan dengan mereka tentang perincian sedemikian," kata beliau semasa satu taklimat online menyusuli pusingan ujian bagi acara ragbi berkerusi roda pada hujung minggu ini.

Pembatalannya akan menjejas penganjur Tokyo setelah mereka memulakan semula acara-acara ujian buat pertama kali dalam tempoh setahun dan perlu menguji langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 bagi para peserta di lokasi pertandingan.

Laporan-laporan media menyatakan FINA sudah memutuskan untuk membatalkan pusingan kelayakan yang dijadual pada 18 hingga 23 April, yang juga acara rasmi ujian bagi sukan Olimpik, yang ditangguhkan tahun lalu disebabkan pandemik COVID-19.

BBC, yang memetik surat daripada FINA kepada persekutuan kebangsaan, menyatakan acara itu dibatalkan kerana langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 yang dirancang pihak penganjur "tidak akan memastikan" dengan baik keselamatan atlit.

Menurut FINA, ia akan membuat pengumumannya pada minggu akan datang.

Keadaan diburukkan lagi, dengan Osaka, yang merupakan sebahagian daripada metropolis kedua terbesar Jepun, mahu membatalkan penyertaannya dalam acara larian obor pada 14 April disebabkan penularan semula kes COVID-19 di sana.

Encik Mori berkata FINA dan persekutuan kebangsaan akan membuat keputusan tentang pusingan kelayakan bagi acaraterjun cantik. Namun penganjur Tokyo masih menekankan pentingnya acara-acara ujian diteruskan sedang mereka bersiap sedia bagi perasmian temasya Olimpik pada 23 Julai.

"Tidak kira apa formatnya, kami masih mahu meneruskan acara ujian. Jadi dengan niat itu kami mahu terus bekerjasama dengan mereka," kata Encik Mori.

- Reuters/NK/nk

Top