Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Olimpik: Shanti Pereira gagal mara ke separuh akhir pecut 200m

Pelari pecut negara Shanti Pereira mencatat masa 23.96 saat di Sukan Olimpik Tokyo pada Isnin (2 Ogos) untuk menamatkan larian 200 meter di tempat terakhir dalam acara saringannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Olimpik: Shanti Pereira gagal mara ke separuh akhir pecut 200m

Shanti Pereira bersaing dalam acara lari pecut 200 meter di Sukan Olimpik Tokyo pada 2 Ogos. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 02 Aug 2021 01:47PM Dikemas Kini : 02 Aug 2021 01:50PM

TOKYO: Pelari pecut negara Shanti Pereira mencatat masa 23.96 saat di Sukan Olimpik Tokyo pada Isnin (2 Ogos) untuk menamatkan larian 200 meter di tempat terakhir dalam acara saringannya.

Perlumbaan itu dimenangi oleh Anthonique Strachan dari Bahamas dengan masa 22.76 saat. Shericka Jackson dari Jamaica pula, yang memenangi pingat gangsa bagi acara 100 meter pada Sabtu, malangnya gagal melayakkan diri selepas hanya mampu meraih kedudukan keempat dengan catatan masa 23.26 saat.

Tiga pelari terbaik dalam setiap pusingan saringan dan lagi tiga atlit paling laju menempah tempat dalam perlumbaan suku akhir.

Masa Pereira merupakan yang terbaik dicatatkannya musim ini, menurut Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC). Beliau memegang rekod kebangsaan iaitu 23.60 saat yang dicatatkan dalam perlumbaan di Sukan SEA 2015.

"Saya belum berlumba (buat sekian lama). Saya agak berpuas hati dengan keputusan saya ... berpuas hati dapat mencatat masa kurang daripada 24 (saat)," kata beliau. Perlumbaan terakhirnya sebelum ini adalah pada November lalu di mana satu ujian prestasi diadakan khas untuknya tanpa sebarang pesaing lain.

Memberikan komennya tentang bersaing di temasya olahraga terbesar itu, Pereira berkata beliau pernah ke Kejohanan Dunia tetapi Olimpik "adalah sesuatu yang sangat berbeza".

Pereira dipilih untuk mewakili Singapura di Sukan Olimpik Tokyo menerusi syarat-syarat kesejagatan, yang memperuntukkan tempat untuk jawatankuasa-jawatankuasa Olimpik kebangsaan memilih calon yang tidak memenuhi kriteria kelayakan bagi acara Olimpik.

Sebagai rangkaian Sukan Olimpik Singapura, Mediacorp membawakan liputan meluas Sukan Olimpik Tokyo 2020. Lungsuri laman mediacorp.sg/tokyo2020 untuk butiran lanjut. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan