Images
  • fizah fisioterapi fas (1)
    Nurhafizah Sujad menyanyi lagu kebangsaan sebelum Singapura berentap dengan Timor-Leste pada 21 Nov 2018. (Gambar: FAS)

Nurhafizah Abu Sujad ahli fisioterapi 'pilihan' pemain bola sepak negara; sedia sahut cabaran lebih besar

SINGAPURA: Apabila seseorang pemain yang cedera datang kepadanya, Nurhafizah Abu Sujad tidak sahaja merawat kecederaan yang dialami semata-mata.

Beliau sebaliknya turut mengambil inisiatif untuk mengetahui lebih lanjut serta memahami setiap individu tersebut, sesuatu yang beliau percaya akan membantu mereka pulih dan akhirnya kembali beraksi.

Inilah sebabnya mengapa Fizah, panggilan mesranya, menjadi ahli fisioterapi pilihan hampir setiap pemain bola sepak tempatan sejak beliau menggalas peranan selaku Ketua Ahli Fisioterapi, Pasukan Negara di Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada awal 2012.

Menurut FAS.org.sg, Fizah menyertai Lion City Sailors pada Julai lalu sebagai Ketua Ahli Fisioterapi Liga Perdana Singapura (SPL) sambil terus berkhidmat dengan pasukan negara sepanjang tempoh perlawanan antarabangsa.

Sepanjang berkhidmat di FAS, Fizah menjalin hubungan erat dengan para pemain Pasukan Lelaki Negara serta pemain-pemain lain daripada kedua-dua kumpulan usia lelaki dan wanita. Hubungan rapat itu terjalin melalui pendekatannya yang bersifat peribadi dan dedikasi beliau terhadap kerjayanya tanpa kenal lelah.

“Saya selalu merasakan ia adalah tanggungjawab saya untuk membantu mereka kerana mereka semua sudah menyumbang kepada bola sepak Singapura," Fizah memberitahu FAS.org.sg.

"Ada banyak maklumat di dalam otak saya (tentang keadaan hampir setiap pemain) tetapi saya juga mempunyai dokumentasi yang betul dalam komputer riba saya, maka itu ia sangat membantu. Namun juga, ia sesuatu yang ada pada diri saya; sebaik sahaja anda memahami pemain itu (di peringkat peribadi), ia adalah lebih mudah untuk merawat mereka."

Seorang yang periang dan mudah beramah mesra, seperti digambarkan oleh FAS.org.sg, Fizah memendam impian untuk menjadi seorang jururawat namun menjadikan fisioterapi sebagai pilihan kerjayanya. Ini selepas beliau mendapat inspirasi daripada seorang ahli fisioterapi yang merawat dirinya ketika beliau tercedera semasa bermain untuk pasukan bola jaring belia negara.

Selepas menamatkan pengajiannya, Fizah mengikat bonnya dengan bekerja di Hospital Besar Changi (CGH) di mana beliau terdedah kepada cabang berbeza dalam bidang fizioterapi. Beliau meluangkan sebahagian besar masanya di jabatan neurologi serta jabatan Unit Jagaan Rapi (ICU).

Beliau kemudian berkhidmat di Kementerian Pertahanan (MINDEF), bekerjasama dengan para Komando dan juruterbang sebelum bertugas di Majlis Sukan Singapura - yang kini dikenali sebagai Sport Singapore - pada 2010.

TERDEDAH KEPADA DUNIA BOLA SEPAK

Semasa di sana, Fizah bekerja dengan para atlit yang bersaing di peringkat antarabangsa dan temasya sukan besar seperti Sukan Asia Tenggara (SEA), Sukan Asia serta Sukan Olimpik, menurut FAS.org.sg.

Beliau ditugaskan untuk menawarkan khidmat kepada pasukan-pasukan bola jaring, ragbi dan hoki negara. Malah, Fizah juga adalah sebahagian daripada kontinjen Team Singapore yang melakukan perjalanan ke luar negara bagi Sukan SEA dan Sukan Asia.

Di situlah bermula kerjayanya dalam arena bola sepak apabila pelopornya, Yeo Hwee Koon, yang sedang membuat persiapan untuk pasukan negara bagi kelayakan Piala Dunia, meminta bantuan Fizah untuk menghulurkan khidmat buat pasukan bawah 23 tahun pada 2011.

Bidang bola sepak bukanlah sesuatu yang asing bagi diri Fizah kerana beliau mempunyai beberapa anggota keluarga yang terlibat secara langsung dalam arena sukan itu. Beliau berkongsi ayahnya adalah bekas pemain negara dan abangnya pula pemain pasukan Balestier Khalsa. Sementara itu, adiknya, Hafiz, adalah seorang pemain kebangsaan Singapura manakala legenda bola sepak tanah air, Fandi Ahmad, adalah sepupu mereka.

Maka itulah, apabila mendapat tahu FAS sedang mencari seorang ahli fisioterapi sepenuh masa, Fizah bertekad untuk mencabar dirinya.

Namun, keprihatinan utamanya adalah sama ada para pemain boleh menerima wajah baru. Mujur, Fizah berjaya membuktikan keupayaannya kepada mereka dan menonjolkan sikap mudah bekerjasama ketika bertugas.

Kapten pasukan negara, Hariss Harun, berkata: "Ia bukan mudah untuk seorang ahli fisioterapi wanita bekerja dalam persekitaran yang ramai lelaki tetapi beliau berazam kuat, menunjukkan kesungguhan, telus dan benar-benar menjaga pasukan serta para pemain. Ia ibarat beliau bermain dalam perlawanan itu bersama kami!".

Sokongan kukuh daripada suami, tiga anaknya dan keluarga besarnya serta ganjaran yang diraih daripada pekerjaannya membuatkan Fizah terus bertahan.

“Kadangkala pada tengah-tengah malam apabila pemain tercedera, mereka memahami saya perlu ke hospital untuk menghulurkan bantuan atau apabila saya perlu menolong para pemain selepas tamat perlawanan," ujar Fizah kepada FAS.org.sg.

SEDIA PIKUL TANGGUNGJAWAB LEBIH BERAT

Fizah berkongsi beliau menantikan untuk memikul tanggungjawab lebih mencabar untuk berkhidmat buat kedua-dua kelab dan negara kerana beliau merasakan beliau berbekalkan banyak ilmu dan pengalaman untuk ditawarkan kepada bidang pemulihan sukan.

“Saya rasa langkah ini datang pada masa yang tepat dalam kerjaya saya sebagai seorang ahli fisioterapi," kata beliau.

"Saya menantikan untuk membantu Sailors membangunkan pakar perubatan sukan dan gembira saya akan terus berkhidmat kepada negara serta menyediakan kepakaran dengan lebih lanjut untuk membimbing para ahli fisioterapi lain yang akan menyertai sukan tersebut di FAS.

“Apa yang benar-benar membuat saya teruja adalah peluang untuk memimpin perkembangan perubatan sukan di Lion City Sailors dan melaksanakan sebuah sistem untuk meningkatkan, membentuk dan mengekalkan keupayaan di akademi serta kelab itu," ungkapnya.

Walaupun Fizah akan menjadi sebahagian daripada pasukan Sailors semasa musim biasa, beliau akan terus menjadi anggota penting dalam kalangan kakitangan balik tabir Pasukan Negara sewaktu musim perlawanan antarabangsa. Beliau juga akan membimbing para pelatih amali atau "intern" yang memasuki sistem perubatan sukan bola sepak, lapor FAS.org.sg.

Fizah menarik perhatian bahawa arena perubatan dan sains sukan di Singapura sudahpun menunjukkan kemajuan sejak awal beliau berkecimpung dalam bidang itu.

Sejak 2018, lapor FAS.org.sg., Jabatan Sains dan Perubatan Bola Sepak di FAS sudahpun berkembang dalam saiz dan skop manakala para pemain pula kini berpengetahuan lebih tinggi tentang tanggungjawab mereka selain pemakanan, pemulihan dan aspek-aspek lain yang berkaitan.

Selain itu, Fizah juga memastikan beliau terus dikemas kini dengan perkembangan dan kemajuan dalam sains sukan dan fisioterapi. Beliau berterima kasih atas sokongan berterusan daripada FAS sepanjang beberapa tahun lalu, dengan menghantarnya ke beberapa persidangan serta bengkel di luar negara sebanyak dua atau tiga kali setahun untuk menajamkan lagi kemahiran serta keupayaannya.

Bahkan sekalipun pandemik COVID-19 melanda, Fizah terus mendahagakan ilmu dan tidak berhenti menimba pengetahuan baru dengan menghadiri beberapa seminar online.  

- Agensi berita/FZ/fz

Top