Images
  • neymar
    (Gambar: AFP)

Neymar antara 3 pemain kelab Paris Saint-Germain diuji positif COVID-19

PARIS: Neymar ialah salah seorang daripada tiga pemain kelab Paris Saint-Germain yang dijangkiti COVID-19, menurut satu sumber rapat kelab itu kepada AFP pada Rabu (2 Sep), setelah ia mengumumkan beberapa pemain mereka didapati positif bagi ujian virus tersebut.

"Tiga pemain kelab Paris Saint-Germain disahkan dijangkiti COVID-19 dan tertakluk kepada protokol kesihatan sewajarnya," menurut PSG dalam satu kenyataan.

"Semua pemain dan jurulatih akan menjalani ujian dalam beberapa hari akan datang."

Apabila dihubungi oleh AFP, kelab itu enggan mengesahkan identiti para pemain yang dijangkiti.

Namun sumber itu menyatakan "ya" apabila ditanya jika Neymar ialah salah seorang pemain yang diuji positif, di samping rakan sepasukannya Angel Di Maria dan Leandro Paredes, seperti dilaporkan sebelum ini oleh akhbar sukan Perancis L'Equipe.

Kes-kes itu kelihatan terkait kepada satu percutian ke pulau Ibiza di Laut Mediterranean luar Sepanyol, yang disertai beberapa pemain PSG menyusuli kekalahan Liga Juara-Juara di tangan Bayern Munich.

Berita itu satu hambatan bagi persediaan kelab itu menjelang musim perlawanan Ligue 1 yang dijadualkan bermula minggu depan, dengan satu perlawanan di Lens pada 10 September namun kini berisiko ditangguhkan.

PSG sebelum ini menyatakan pada Isnin (31 Ogos) bahawa dua pemain yang tidak dinamakan dilaporkan mengalami gejala virus korona setelah pulang dari bercuti.

L'Equipe melaporkan bahawa kedua-dua pemain pada ketika itu adalah pemain dari Argentina iaitu Di Maria dan Paredes.

Kedua-dua pemain itu dan Neymar, ialah di antara beberapa pemain yang mengunjungi Ibiza menyusuli perlawanan akhir Liga Juara-Juara, bergaul dengan rakan-rakan dan keluarga mereka selepas beberapa minggu sebelumnya diasingkan dalam sebuah 'gelembung' keselamatan dengan rakan-rakan sepasukan di Portugal.

- AFP/HA/ha

Top