Images
  • us open rafael nadal
    Rafael Nadal menjulang piala Kejohanan Terbuka AS (Gambar: Johannes Eisele/AFP)

Nadal juara Kejohanan Terbuka AS; hanya ketinggalan 1 Grand Slam di belakang Federer

NEW YORK: Rafael Nadal berjaya membawa pulang gelaran Grand Slam ke-19 dalam kerjayanya pada Ahad (8 Sep). Ini setelah pemain handalan Sepanyol itu menewaskan Daniil Medvedev dari Rusia 7-5, 6-3, 5-7, 4-6, 6-4, sekaligus merangkul kejuaraan keempatnya di gelanggang New York.

Pemain kidal berusia 33 tahun itu kini hanya ketinggalan satu Grand Slam untuk menyaingi rekod Roger Federer yang sudah menjuarai sebanyak 20 Grand Slam. Nadal juga kini juara Terbuka Amerika Syarikat yang kedua paling tua dalam era Kejuaraan Terbuka sejak Ken Rosewall meraih kemenangan Grand Slam semasa mencecah usia 35 tahun pada 1970.

Nadal, pemain nombor dua dunia, membawa pulang wang tunai AS$3.85 juta (S$5.31) dari Stadium Arthur Ashe, yang sekaligus menambah koleksi piala Kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat yang dibawa pulang pada 2010, 2013 dan 2017.

Nadal, yang membuat penampilan kelima dalam perlawanan akhir Kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat dan perlawanan akhir Grand Slam yang ke-27, turut menjadi pemain lelaki pertama yang berjaya menjuarai lima kejohanan utama selepas mencecah usia 30 tahun.

Namun kemenangan tidak datang bergolek bagi pemain Sepanyol itu, yang nyaris-nyaris menjadi pemain pertama yang tewas dalam perlawanan akhir meskipun mendahului dua set sejak Frederick Schroeder pada 1949.

Perlawanan selama empat jam 50 minit itu cuma kurang empat minit untuk menyaingi pertarungan paling panjang dalam sejarah Kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat, iaitu rekod yang dicatatkan bagi kemenangan Mats Wilander semasa menjulang piala pada 1988 dan Andy Murray pada 2012.

Ia juga adalah Grand Slam kedua buat Nadal bagi tahun ini setelah memenangi Kejohanan Terbuka Perancis yang ke-12 pada Jun lalu.

- AFP/TQ/tq

Top