Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

‘Mr Langkawi’ juara peringkat pertama Tour de Langkawi

Selepas terlepas saingan tahun lalu, pelumba Itali, Andrea Guardini kembali semula untuk mengumpul 23 kemenangan peringkat apabila menjuarai peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 yang bermula dari Kangar dan berakhir di Kulim Hi-Tech Park hari ini (18 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
‘Mr Langkawi’ juara peringkat pertama Tour de Langkawi

Andrea Guardini (tengah), Seo Joonyong (kanan) dan Wang Bo (kiri). (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 18 Mar 2018 09:11PM Dikemas Kini : 18 Mar 2018 09:40PM

KULIM: Selepas terlepas saingan tahun lalu, pelumba Itali, Andrea Guardini kembali semula untuk mengumpul 23 kemenangan peringkat apabila menjuarai peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 yang bermula dari Kangar dan berakhir di Kulim Hi-Tech Park hari ini (18 Mac).

Atlit yang mempunyai reputasi sebagai pelumba pecut paling banyak memenangi peringkat saingan LTdL sejak 2011 yang juga pelumba pasukan Bardiani-CSF itu menamatkan perlumbaan sejauh 147.9 kilometer dalam masa 3 jam, 29 minit dan 4 saat.

Dalam persaingan sekelompok pelumba menuju ke garisan penamat, kesemua 10 pelumba teratas diberikan masa yang sama.

Tempat kedua diduduki pelumba Korea Selatan, Seo Joon Yong daripada pasukan KSPO Bianchi Asia Procycling dengan menyambar jersi putih selaku pelumba terbaik Asia manakala pelumba China, Wang Bo (Hengxiang Cycling) memakai jersi Polka Dot, selaku Raja Bukit.

Kemenangan Guardini, yang diberi jolokan 'Mr Langkawi’ itu, turut menyarung jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan dan juga jersi hijau, selaku Raja Pecut, dengan mengumpul 19 mata di tiga zon pecutan – Kerpan, Alor Setar dan Guar Cempedak.

Pelumba kelahiran Tregnago berkenaan meraih lima kemenangan peringkat pada 2011, enam (2012), satu (2013), dua (2014) dan masing-masing empat kemenangan peringkat pada 2015 dan 2016, selain meraih jersi biru selaku Raja Pecut sebanyak tiga kali iaitu pada 2011, 2012 dan 2016.

Guardini yang berusia 28 tahun itu, tidak menyertai edisi tahun lalu selepas menamatkan penyertaan singkat semusim bersama Team UAE Emirates.

Sejumlah 22 pasukan berstatus Jelajah Profesional Dunia, profesional benua, benua dan pasukan kebangsaan menyertai perlumbaan kali ini meliputi jarak keseluruhan perlumbaan 1,341.2km, membabitkan lapan negeri di Semenanjung Malaysia.

Esok (19 Mac), peringkat kedua persaingan dari Gerik ke Kota Bahru melibatkan jarak 208.3km akan berlangsung.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan