Images
  • mohamed salah
    Gambar: Mohamed Salah/Facebook

Mohamed Salah bintang Liverpool, wira kampung di Mesir

MESIR: Bagi kebanyakan kanak-kanak di Kampung Nagrig di kawasan pendalaman Mesir, impian mereka sama - yakni ingin menjadi seperti Mohamed Salah, pemain terhebat Afrika dan penjaring gol terbanyak Liverpool.

Salah yang berasal dari kampung itu, menjadi bintang sensasi Liga Perdana sejak menyarung jersi Liverpool. Gol kemenangan ke atas Southampton semalam (11 Feb) merupakan jaringannya yang ke-29 dalam musim ini.

Malah penyerang antarabangsa Mesir ini menjadi watak penting ketika membawa negaranya melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 di Rusia.

Salah didukung tinggi bukan sahaja di Nagrig tetapi juga di bandar jiran Basyoun, dengan pusat-pusat belia di sana diberikan gelaran sempena namanya.

Ternyata, Salah amat sedar akan pengaruhnya dan kejayaan beliau menjadi sumber inspirasi kepada kanak-kanak di Mesir dan Afrika amnya.

Maka itu, semasa dinobatkan pemain Afrika terbaik tahun lalu, beliau menyampaikan mesej yang demikian kepada mereka:“Ini adalah anugerah terhebat bagi saya, detik istimewa sepanjang kerjaya. Saya ingin mendedikasikannya untuk semua kanak-kanak di Afrika dan Mesir.

"Jangan henti daripada mempunyai impian, jangan henti daripada terus memiliki keyakinan, mempercayai (diri sendiri)."

Namun, siapa sangka, perjalanan hidupnya penuh onak duri.

"Bakatnya memang menyerlah sejak awal lagi," kata Ghamri Abdel-Hameed el-Saadani, jurulatih di Pusat Belia Nagrig, di mana Salah berlatih pada usia lapan tahun.

Meskipun demikian, kejayaan Salah bukan sahaja kerana bakatnya tetapi adalah "juga disebabkan keazaman yang kuat, usaha dan ketekunannya," kata Saadani.

Salah berpindah ke Chelsea tetapi gagal mendapat tempat dalam pasukan pertamanya. Beliau kemudiannya ke Itali dan prestasi baiknya dalam pasukan Roma menarik perhatian Liverpool. Tahun lalu, beliau menandatangani perjanjian dengan pasukan tersebut.

Meskipun sudah menjadi seorang bintang bola sepak, Salah tidak pernah melupakan asal usulnya. Beliau tetap pulang ke tanahair untuk menghabiskan masa dengan isteri dan anak perempuannya di Nagrig.

Malah, Salah turut menderma kepada sebuah unit jagaan rapi di Hospital Tengah Basyoun dan juga pusat agama di Nagrig yang bakal dibina.

Beliau juga mengasaskan sebuah badan amal di Nagrig yang menyediakan sehingga 50,000 paun Mesir (S$3754) setiap bulan kepada mereka yang memerlukan. 

- AFP/SM/sm

Top