Images
  • modric
    Bintang tengah Real Madrid dan Croatia, Luka Modric, dinobat pemenang anugerah Ballon d'Or 2018. (Gambar: Benoit Tessier/Reuters)

Modric julang anugerah Ballon d'Or 2018

PARIS: Bintang tengah Real Madrid dan Croatia, Luka Modric, dinobat pemenang anugerah Ballon d'Or 2018, sekali gus mengakhiri dominasi selama sedekad oleh Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi untuk anugerah berprestij tersebut.

Dalam majlis yang berlangsung di Grand Palais, Paris, Modric menewaskan penyerang Juventus dan pemenang edisi 2017, Ronaldo (kedua) manakala penyerang Atletico Madrid dan Perancis, Antoine Griezmann ketiga.

Pemain muda Perancis dan Paris St Germain, Kylian Mbappe yang turut meraih anugerah Kopa bagi pemain bawah 21 terbaik berada di kedudukan keempat diikuti penyerang Barcelona, Lionel Messi.

Sepanjang 2018, Modric, 33, sudah beraksi dalam 56 perlawanan dengan 41 bersama Real Madrid dan 15 bersama Croatia.

Sepanjang tempoh itu, Modric cemerlang membantu Real menjulang Liga Juara-Juara ketiga berturut-turut pada Mei lalu sebelum mengetuai Croatia melangkah ke peringkat akhir Piala Dunia di Russia tetapi tewas 2 - 4 kepada Perancis.

Modric menjadi pemain Croatia pertama memenangi Ballon d'Or selain memenangi anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA pada Oktober lalu.

Sementara itu, penyerang Lyon dan Norway, Ada Hegerberg memenangi anugerah sama bagi wanita selepas membantu kelabnya menjuarai Liga Juara-Juara Eropah Wanita ke atas Vfl Wolfsburg.  

- AFP/SU/ai

Top