Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Mesyuarat tergempar EPL akan diadakan bagi putuskan tarikh baru Project Restart

Liga Perdana England (EPL) berharap "Project Restart" akan maju setapak lagi bagi merealisasikan matlamat untuk menyambung semula perlawanan bola sepak musim ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Mesyuarat tergempar EPL akan diadakan bagi putuskan tarikh baru Project Restart

(Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 18 May 2020 10:37AM Dikemas Kini : 18 May 2020 10:48AM

LONDON: Liga Perdana England (EPL) berharap "Project Restart" akan maju setapak lagi bagi merealisasikan matlamat untuk menyambung semula perlawanan bola sepak musim ini.

Kelab-kelab akan mengadakan mesyuarat tergempar pada Isnin (18 Mei) untuk memutuskan tarikh bagi menyambung semula perlawanan bola sepak di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Jika sekurang-kurangnya 14 daripada 20 kelab bersetuju dengan protokol keselamatan yang dilakarkan, para pemain mungkin boleh kembali menjalani latihan esok (19 Mei).

Semalam (17 Mei) sepatutnya adalah hari terakhir bagi EPL musim ini namun wabak COVID-19 menyebabkan liga itu digantung pada Mac dengan baki 92 perlawanan masih tertunggak.

Kerajaan Britain pada minggu lalu membuka pintu untuk sukan elit diteruskan, namun masih terdapat beberapa rintangan yang perlu diatasi sebelum EPL boleh disambung semula secara tertutup.

Kelab-kelab mendapat dorongan apabila Liga Bola Sepak Jerman (Bundesliga) disambung semula pada hujung minggu lalu - liga bola sepak utama yang pertama di dunia untuk berbuat demikian selepas pihak berkuasa Jerman melonggarkan perintah berkurung di negara itu.

Kelab-kelab perlu bersetuju dengan syarat-syarat untuk pemain kembali menjalani latihan di bawah peraturan yang ketat.

Langkah-langkah keselamatan termasuk memasang khemah di mana pemeriksaan suhu badan boleh dijalankan, kriteria kebersihan yang ketat, tiada kantin dan tiada bilik mandi disediakan. Hanya lima pemain akan dibenarkan berlatih pada satu-satu masa dan mereka tidak dibenarkan bersentuhan dengan pemain lain.

Para pemain akan diuji dua kali seminggu dan diminta supaya memberikan keizinan bertulis bahawa mereka sudah menerima dan memahami dasar COVID-19 kelab masing-masing.

Pada awalnya perlawanan-perlawanan bola sepak dijadual disambung semula pada 12 Jun jika kesemua kelab bersetuju dan jika tiada peningkatan pada jumlah jangkitan di negara itu.

Namun, Project Restart besar kemungkinan akan bermula pada 19 atau 26 Jun.

Dengan angka korban di Britain akibat jangkitan COVID-19 masih meningkat sebanyak beratus-ratus setiap hari - jumlah terkumpul terkini adalah 34,466 - dan usulan untuk menyambung semula EPL mendapat reaksi yang bercampur-campur.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan