Images
  • messi
    Lionel Messi. (Gambar: Reuters)

Messi tidak mungkin tukar fikiran tinggalkan Barca

REUTERS: Lionel Messi tidak mungkin berubah fikiran tentang keputusan meninggalkan Barcelona, kata calon presiden kelab itu Victor Font.

Messi menggemparkan Barcelona bulan lalu apabila peguamnya memaklumkan kelab tersebut bahawa pemain itu mahu menggunakan klausa dalam kontraknya yang akan membolehkannya keluar secara percuma sebelum musim 2020-21.

Kelab tersebut mempertikaikan tuntutan itu dengan menyatakan klausa itu telah luput pada 10 Jun - dengan La Liga juga mengeluarkan kenyataan yang menyatakan bahawa kontrak itu masih sah - tetapi Font tidak menaruh harapan untuk meyakinkan Messi kekal buat setahun lagi.

"Saya sangat berharap keputusan itu dapat diubah," kata Font kepada Sky Sports. "Namun, nampaknya tidak mungkin... jika begitu halnya, tumpuan patut diberikan kepada peralihan sebaik mungkin.

"Messi sayang kelab ini dan beliau mahu menang, beliau mahu bersaing. Beliau sudah mengatakannya selama bertahun-tahun, bukan hanya untuk beberapa minggu.

"Malangnya kelab ini tidak dapat memenuhi janji untuk membina pasukan yang berdaya saing."

Messi, 33, kali terakhir memenangi Liga Juara-Juara bersama Barcelona pada 2015 dan kekalahan memalukan 8-2 di tangan Bayern Munich pada peringkat suku akhir bulan lalu adalah kejadian tidak diinginkan yang terakhir bagi pemain terbaik dunia sebanyak enam kali itu.

Messi, yang gagal untuk menghadiri latihan pra-musim pada Isnin, sebelum ini menyifatkan pasukannya sebagai "lemah" dan "tidak konsisten" setelah menyerahkan gelaran liga kepada pesaingnya, Real Madrid.

Kelab itu membelanjakan berjuta-juta dolar untuk pemain di pasaran pemindahan yang tidak menunjukkan kelakonan baik dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan strategi pemindahan pemain adalah sesuatu yang Font harap dapat diubah sekiranya beliau dilantik sebagai presiden.

"Sekarang anda ada presiden, pengerusi lembaga dan bahkan beberapa pengarah yang membuat keputusan mengenai kontrak, menjual pemain dan itu perlu diubah," kata Font, yang berharap dapat menggantikan presiden Josep Maria Bartomeu dalam pemilihan Mac depan.

"Itulah sebabnya kami sedang melakukan satu projek dan kami memerlukan orang-orang dari dunia bola sepak untuk memimpinnya."

Bapa dan ejen Lionel Messi telah ke Barcelona pada Selasa. Media Argentina menyatakan mereka ke sana untuk satu pertemuan dengan presiden kelab Josep Maria Bartomeu.

- Reuters/TQ/tq

Top