Images
  • messi
    Lionel Messi. (Gambar: AFP/Josep Lago)

Messi sah atlit termahal dunia; tewaskan Ronaldo

NEW YORK: Bintang Barcelona, Lionel Messi mengatasi Cristiano Ronaldo sebagai atlit yang dibayar paling lumayan dalam tempoh 12 bulan yang lalu, sejumlah AS$127 juta (S$173 juta), berdasarkan senarai 100 atlit terbaik yang dikeluarkan majalah Forbes.

Ronaldo pula berada di kedudukan kedua dengan AS$109 juta (S$148 juta) diikuti penyerang Paris St-Germain, Neymar dengan pendapatan AS$105 juta (S$143 juta), menurut laporan agensi berita AFP.

Bintang tinju, Floyd Mayweather yang mengungguli carta tersebut tahun lepas tidak pula tersenarai dalam ranking Forbes tahun ini.

Majalah bisnes Amerika Syarikat itu menganggarkan pendapatan atlit-atlit tersebut berdasarkan wang kemenangan, gaji dan perjanjian penajaan.

Secara keseluruhannya, sebanyak AS$4 bilion (S$5.4 bilion) dibayar kepada 100 atlit termahal dalam senarai Forbes yang menyaksikan peningkatan sebanyak lima peratus berbanding tahun lepas apabila Mayweather mengungguli senarai tersebut dengan pendapatan sebanyak AS$285 juta (S$389 juta).

Sukan bola keranjang mencatat senarai pendapatan tertinggi daripada senarai 100 atlit apabila 35 atlit dari Liga Bola Keranjang NBA meraih AS$1.3 bilion (S$1.7 bilion).

Menurut AFP, sukan bola sepak Amerika (American football) berada di kedudukan kedua dengan AS$775 juta (S$1.1 bilion) diikuti bola sepak pula dengan AS$607 juta (S$828 juta).

Lebih daripada separuh atlIt yang tersenarai adalah dari Amerika Syarikat iaitu 62 orang berbanding 38 orang dari 24 negara lain.

Berikut senarai 10 atlit termahal di dunia bagi 2019 yang dikeluarkan majalah Forbes:

1. Lionel Messi (bola sepak) - S$173.4 juta
2. Cristiano Ronaldo (bola sepak) - S$148.8 juta
3. Neymar (bola sepak) - S$143.3 juta
4. Canela Alvarez (bola sepak) - S$128.3 juta
5. Roger Federer (tenis) - S$127.5 juta
6. Russel Wilson (bola sepak Amerika) - S$122.2 juta
7. Aaron Rodgers (bola sepak Amerika) - S$121.9 juta
8. LeBron James (bola keranjang) - S$121.5 juta
9. Stephen Curry (bola keranjang) - S$108.9 juta
10. Kevin Durant (bola keranjang) - S$89.3 juta

- Agensi berita/ZM/zm

Top