Images
  • messi but emas
    Messi berhasil menjaringkan 34 gol dalam 68 perlawanan bagi Barcelona pada musim lalu. (Gambar: Lluis Gene/AFP)

Messi menang Anugerah 'But Emas' buat kali ke-5

BARCELONA: Lionel Messi mencipta sejarah dengan memenangi Anugerah 'But Emas' selepas mengakhiri musim lalu sebagai penjaring gol terbanyak di Eropah.

Penyerang itu berhasil menjaringkan 34 gol dalam 68 perlawanan bagi Barcelona - satu pencapaian lebih baik berbanding pemain Liverpool, Mohamed Salah, dan pemain Tottenham Hotspurs, Harry Kane.

Cristiano Ronaldo, yang sudah memenangi anugerah itu sebanyak empat kali, menjaringkan 26 gol dalam 52 perlawanan bagi Real Madrid.

Selepas anugerah disampaikan kepadanya di Barcelona, Messi berkata: "Hakikatnya, saya tidak menjangka akan meraih pencapaian sejauh ini apabila saya baru-baru mula. Saya memang ingin menjadi seorang pemain bola sepak handal dan mencapai kejayaan. Saya suka bermain sukan ini, tetapi saya tidak pernah membayangkan saya akan melangkah sejauh ini.

"Saya menikmati kerjaya ini dan juga bekerjasama dalam pasukan. Saya bermain dengan pasukan terbaik di dunia dan mempunyai rakan-rakan terbaik sebagai rakan sepasukan, jadi semuanya mudah bagi saya."

Majlis itu dihadiri Presiden Barcelona Josep Maria Bartomeu, serta pemain-pemain lain seperti Sergio Busquets dan Sergi Roberto.

Messi juga mengulas tentang keputusan seri dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah, di mana Barca akan bertarung dengan Lyon dalam pusingan 16 pasukan terakhir.

"Lyon lawan kuat yang sukar diatasi," kata Messi. "Meskipun mereka bukan dikenali sebagai antara pasukan yang paling kuat, mereka juga pesaing sengit kerana mereka berjaya membuktikannya kepada Manchester City, salah satu pasukan terbaik di dunia.

"Ia mungkin sesuatu yang mencabar, tetapi masih ada peluang bagi kami. Kami mempunyai beberapa pemain dalam pasukan seperti Samuel Umtiti dan Malcom yang pernah beraksi di Perancis, jadi mungkin mereka dapat membantu."  

- AFP/AQ/aq

Top