Images
  • kubo
    Pemain penyerang Jepun Takefusa Kubo. (Gambar: AFP/Miguel Schincariol)

'Messi Jepun' bakal sarung jersi Real Madrid musim depan

TOKYO: Pemain penyerang Takefusa Kubo menyertai kelab La Liga Sepanyol Real Madrid yang menyifatkan remaja Jepun berusia 18 tahun itu sebagai "antara pemain muda yang berbakat besar dalam dunia bola sepak".

Butiran mengenai perjanjian perpindahan itu tidak didedahkan tetapi akhbar Sepanyol Marca melaporkan Real Madrid sudah membayar yuran perpindahan bernilai €2 juta (S$3.08 juta) dengan jangkaan bahawa Kubo akan menandatangani kontrak selama lima tahun.

"Pemindahan Kubo akan menguatkan barisan pemain Real pada musim depan," menurut kenyataan Real Madrid di laman webnya.

"Berbakat dari segi teknik dan amat cekap sebagai pemain penyerang, beliau mempunyai visi yang mengagumkan, pergerakan kaki yang tangkas dan mahir mencari ruang untuk menjaringkan gol."

Kubo yang membuat penampilan sulung dalam perlawanan menentang El Salvador awal bulan ini, setakat ini bermain untuk pasukan FC Tokyo.

Kubo kini di Brazil dengan skuad Jepun yang dipimpin oleh Hajime Moriyasu dalam persiapan bagi pertandingan Copa Amerika yang bermula hari ini (14 Jun). Dalam perlawanan pertamanya, pasukan Jepun akan berdepan dengan Chile pada Isnin.

Kubo yang digelar 'Messi Jepun', dikhabarkan sebelum ini akan beraksi di Camp Nou tetapi sebaliknya pulang ke Jepun setelah Barcelona didapati bersalah melanggar peraturan perpindahan pemain dan dikenakan larangan perpindahan selama 14 bulan oleh FIFA.

Real Madrid, yang kembali beraksi di bawah pengurus Zinedine Zidane, sedang melalui perubahan besar menyusuli kemarau trofi musim lalu.

Kubo menyertai barisan pemain baru termasuk pemain handalan Belgium Eden Hazard, pemain penyerang Luka Jovic dan pemain pertahanan Ferland Mendy yang turut berpindah ke Santiago Bernabeu sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

- Reuters/ZM/zm

Top