Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Messi dilarang tampil tiga bulan selepas tuduh CONMEBOL terbabit 'rasuah'

Bintang  Argentina, Lionel Messi digantung daripada beraksi bersama pasukan negaranya selama tiga bulan dan didenda AS$50,000 (S$68,840) oleh CONMEBOL selepas pemain itu mengkritik badan induk bola sepak Amerika Selatan berkenaan semasa saingan Copa Amerika.

Anggaran Waktu Membaca:
Messi dilarang tampil tiga bulan selepas tuduh CONMEBOL terbabit 'rasuah'

Pemain Argentina Lionel Messi semasa Copa America. (Gambar: AFP/Pedro UGARTE)

Diterbitkan : 03 Aug 2019 05:23PM Dikemas Kini : 03 Aug 2019 05:27PM

ASUNCION, Paraguay: Bintang Argentina, Lionel Messi digantung daripada beraksi bersama pasukan negaranya selama tiga bulan dan didenda AS$50,000 (S$68,840) oleh CONMEBOL selepas pemain itu mengkritik badan induk bola sepak Amerika Selatan berkenaan semasa saingan Copa Amerika.

Penyerang Barcelona berusia 32 tahun itu menuduh CONMEBOL terbabit dengan "rasuah" selepas dia dibuang padang ketika menentang Chile dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat pada kejohanan di Brazil.

Messi melepaskan kemarahannya susulan dua insiden yang berlaku sepanjang kejohanan bermula Jun hingga Julai itu.

Argentina dinafikan dua sepakan penalti ketika tewas 0-2 di tangan Brazil dalam aksi separuh akhir yang mana Messi selepas tamat perlawanan mendakwa ‘Brazil yang banyak menguruskan CONMEBOL ketika ini'.

Messi bertambah marah apabila dibuang padang pada perlawanan seterusnya yang menyaksikan Argentina berjaya mencatat kemenangan 2-1.

“Rasuah dan pengadil menghalang orang ramai menikmati perlawanan bola sepak dan mereka merosakkannya,” kata Messi.

Dia dilayangkan kad kuning selepas bertengkar dengan kapten Chile, Gary Medel.

Kenyataan CONMEBOL di laman web rasmi badan induk itu tidak menyatakan secara khusus mengenai sebab Messi dijatuhkan hukuman sekadar berkata ia berkait dengan artikel 7.1 dan 7.2 peraturan disiplin.

Hukuman itu bermakna Messi bakal terlepas beberapa perlawanan persahabatan. Messi juga sebelum ini digantung satu perlawanan oleh CONMEBOL setelah dilayangkan kad merah ketika menentang Chile.

Aksi kompetitif selanjutnya Argentina akan hanya bermula pada kempen kelayakan Piala Dunia 2022 bagi zon Amerika Selatan, Mac tahun depan.  

Sumber : AFP/SS/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan