Images
  • dakar
    Para penduduk bersorak selepas keputusan Mesir jadi Tuan Rumah Piala Negara-Negara Afrika 2019. (Gambar: Seyllou/AFP)

Mesir tuan rumah Piala Negara-Negara Afrika 2019

DAKAR: Mesir akan menjadi tuan rumah bagi Piala Negara-Negara Afrika 2019 yang bakal berlangsung dari 15 Jun hingga 13 Julai, menurut presiden Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) Ahmad Ahmad pada Selasa (8 Jan).

Jawatankuasa Eksekutif CAF lebih cenderung memilih Mesir berbanding Afrika Selatan sebagai tuan rumah bagi menggantikan Cameroon yang digugurkan atas sebab-sebab keselamatan dan kelengahan pada persiapan menjelang kejohanan tersebut.

Ahmad membuat pengumuman itu beberapa jam selepas CAF menyatakan bahawa ia tidak akan berbuat demikian sebelum Rabu bagi memastikan agar pihak media dapat menumpukan perhatian kepada majlis penyampaian anugerah yang bakal diadakan di Dakar pada Selasa.

Edisi kali ini merupakan kali kelima Mesir menghoskan Piala Negara-Negara Afrika sejak 1959.

Mesir bersaing untuk menghoskan pertandingan tersebut selepas Maghribi memutuskan bahawa ia tidak akan membuat bidaan untuk menjadi tuan rumah.

Sebelum ini, Maghribi menjadi pilihan pihak media untuk menggantikan Cameroon sebagai tuan rumah dan ketika itu Mesir menyatakan bahawa ia "tidak mahu bersaing dengan sebuah negara Arab".

Algeria, Mesir, Ghana, Guinea, Ivory Coast, Kenya, Madagascar, Mali, Mauritania, Maghribi, Nigeria, Senegal, Tunisia dan Uganda sudahpun melayakkan diri untuk pertandingan tersebut.

Lagi 10 tempat akan ditentukan selepas saringan akhir yang bakal berlangsung antara 18 Mac hingga 26 Mac.

- Reuters/AW/aq

Top