Images
  • mercedes sochi
    Pelumba F1 Mercedes Lewis Hamilton memasuki keretanya semasa sesi kelayakan Grand Prix Rusia pada 28 Sep (Gambar:  AFP / POOL / YURI KOCHETKOV)

Mercedes pecat 4 kakitangan kerana buli perkauman

SOCHI: Pasukan Formula One Mercedes mengesahkan pada Sabtu (28 Sep) pemecatan empat kakitangan, ekoran satu siasatan dalaman terhadap insiden buli berunsur perkauman.

Menurut kenyataan Mercedes, Mercedes-Benz Grand Prix mengesahkan "empat individu dipecat daripada syarikat itu pada 2 Ogos. Pemecatan itu menyusuli siasatan dalaman yang mengesahkan pelanggaran dasar kepelbagaian dan kesamarataan syarikat kami."

Berdasarkan beberapa laporan media pada Sabtu, empat pekerja yang dipecat itu bertugas dalam jabatan teknologi maklumat (IT) dan mereka membuli seorang kakitangan Muslim.

Tiga kakitangan lain turut dikenakan tindakan disiplin kerana melanggar peraturan kepelbagaian syarikat itu.

“Kami mengutuk keras kelakuan ini dan bertindak segera selepas menerima aduan. Kami amat menghargai kepelbagaian kakitangan kami dan ia sumber kekuatan.

“Suasana pekerjaan kami adalah berasaskan penghargaan dan saling menghormati,” menurut kenyataan Mercedes.

Laporan-laporan akhbar dari UK, The Sun dan Mirror menyatakan bahawa para kakitangan telah menganjurkan satu undian pada Ramadan lalu untuk para pekerja meneka bila rakan-rakan sekerja Muslim mereka akan berbuka puasa.

Satu sumber memberitahu The Sun: "Ini satu kes buli berunsur perkauman yang sangat teruk. Mereka menyasarkan seorang lelaki Muslim selama bertahun-tahun. Ia akhirnya terdedah apabila mereka menampal undian itu."

Rayuan terhadap pemecatan itu diadakan minggu lalu sebelum pasukan itu mengesahkan keputusan yang diambil.  

- AFP/EM/tq

Top