Images
  • beampro alexandra
    Gambar hiasan. (Gambar: Hospital Alexandra)

Mercedes 'berlumba' di medan perubatan, guna kepakaran F1 cipta alat bantuan pernafasan COVID-19

LONDON: Bantuan pernafasan merupakan prosedur penting dan menjadi kekangan besar sekiranya kurang peralatan penting itu di dalam bilik rawatan COVID-19.

Pasukan Formula 1 Jerman, Mercedes Benz tampil membantu usaha perubatan dengan menghasilkan alat pernafasan sesuai untuk rawatan pesakit COVID-19.

Sebuah pasukan kejuruteraan dari Mercedes bersama pakar akademik dari University College London (UCL) mengambil masa hanya empat hari untuk menghasilkan alat bantuan pernafasan Tekanan Positif Berterusan Pernafasan (Continuous Postive Airway Pressure – CPAP).

Seratus alat CPAP itu yang sedang diuji di sebuah hospital di utara London yang berkeupayaan membantu pesakit COVID-19 dalam bilik kecemasan.

CPAP digunakan untuk menyalurkan udara dan oksigen terus ke paru-paru melalui topeng muka bagi pesakit yang terlalu uzur dan tidak mampu menjalani prosedur pernafasan yang lebih intensif.

Teknik sama digunakan dengan meluas di Itali yang mampu mengurangkan beban pergantungan kepada alat pernafasan (ventilator) yang tidak mencukupi pada waktu pandemik ini.

Alat CPAP itu sudah diberi kelulusan untuk kegunaan rawatan perubatan oleh Medicines and Healthcare products Regulatory Agency (MHRA) yang berperanan menentukan keselamatan penggunaan peralatan bidang perubatan di United Kingdom.

Pasukan Mercedes-AMG High Performance Powertrains memulakan usaha mengubah suai alat CPAP asal digunakan untuk merawat masalah pernafasan semasa tidur (sleep apnoea).

Jurutera pasukan Mercedes berjaya menghasilkan alat CPAP baru dan mempunyai kemampuan untuk menghasilkan 300 unit sehari.

Dengan kerjasama pasukan Formula 1 yang lain di bawah inisiatif yang digelar `Pitlane Project’, 1,000 alat CPAP mampu dihasilkan dalam seminggu.

Beberapa pasukan Formula 1 berpangkalan di United Kingdom dan penggantungan perlumbaan musim 2020 digunakan oleh masyarakat sukan tersebut untuk membantu usaha perubatan memerangi pandemik COVID-19.

- Agensi berita/NA/na

Top