Images
  • edwin tong file shot
    Encik Edwin Tong (kiri) bersama Encik Fandi Ahmad (Gambar fail: TODAY)

Menteri baru dilantik Edwin Tong letak jawatan sebagai naib presiden FAS

SINGAPURA: Encik Edwin Tong meletak jawatan sebagai naib presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menyusuli pelantikannya baru-baru ini sebagai Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia.

Dalam satu kenyataan pada Ahad (26 Jul) FAS menyatakan keputusan Encik Tong adalah berkaitan dengan pelantikan Kabinet pada Sabtu dan bahawa beliau akan meletak jawatan dari badan sukan itu dengan serta merta.

"Kami akan kehilangan sebahagian penting pasukan, namun kami maklum beliau menyahut tanggungjawab lebih besar demi kemajuan negara," kata presiden FAS Lim Kia Tong.

Encik Tong berkhidmat di Majlis FAS sejak 2013. Beliau juga ialah pengerusi jawatankuasa undang-undang badan penyelia itu dalam penggal ini.

Dalam kenyataannya, FAS menggariskan penglibatan Encik Tong dalam pasukan projek bagi Goal 2034, iaitu "satu rancangan nasional dengan matlamat melayakkan diri bagi Piala Dunia selewat-lewatnya pada 2034". Encik Tong dipetik sebagai berkata tahun lalu bahawa kelayakan bagi Piala Dunia 2034 adalah matlamat "munasabah" untuk Singapura.

"Setelah bekerja dengan Edwin sejak 2013, beliau ialah seorang anggota pasukan yang berharga dan kami sentiasa boleh bergantung kepadanya untuk nasihat dan pandangan yang berwawasan," kata Encik Lim.

"Kami mengucapkan kepada beliau selamat maju jaya buat sedang beliau memulakan lembaran baru kerjaya perkhidmatan awamnya dalam peranan barunya sebagai Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia dan kami sangat yakin beliau akan menjalankan tugas dengan cemerlang."

- CNA/TQ/tq

Top