Images
  • helikopter
    Kematian Encik Vichai Srivaddhanaprabha mengejutkan dunia sukan antarabangsa dan disambut dengan duka cita. (Gambar: Oli Scarff/AFP)

Mekanisme terputus punca nahas helikopter yang membunuh pemilik Leicester

LONDON: Nahas helikopter yang membunuh hartawan warga Thailand yang merupakan pemilik kelab bolasepak Leicester City bersama empat orang lain pada 28 Okt, berpunca daripada pedal-pedal kokpit yang terputus. Demikian menurut siasatan Britain pada Khamis (6 Dis).

Berita kematian Encik Vichai Srivaddhanaprabha mengejutkan dunia sukan antarabangsa dan disambut dengan duka cita oleh para penduduk di bandar kecil di tengah England, dua tahun selepas mereka menyandang gelaran juara buat pertama kali pada musim tersebut.

Helikopter yang dihiasi dengan warna biru dan putih pasukan itu, hilang kawalan sejurus ia berlepas dari bumbung stadium.

Encik Vichai menghadiri kebanyakan perlawanan di padang sendiri di Leicester dan mendarat dan berlepas dari tengah-tengah padang.

Menurut Cabang Siasatan Kemalangan Udara Britain (AAIB), satu siri pedal kokpit terputus daripada rotor di bahagian ekor helikopter tersebut.

Helikopter itu mula berputar dalam keadaan tidak terkawal ke arah kanan disebabkan pedal kokpit yang terputus itu.

AAIB menyifatkan siasatan lanjut terhadap punca pedal itu terputus "sebagai satu keutamaan".

Pihak berkuasa keselamatan penerbangan Eropah sudah mengarahkan pemeriksaan mandatori mengenai jenis helikopter yang terbabit dan mendapati tiada masalah lain setakat ini.

- AFP/NA/na

Top