Mediacorp kerjasama dengan beIN SPORTS bawa aksi bola sepak, ragbi ke Toggle
SINGAPURA: Para peminat sukan di Singapura tidak lama lagi akan dapat menyaksikan aksi bola sepak antarabangsa seperti perlawanan Liga Juara-Juara dan Piala Dunia Ragbi di platform Toggle, Mediacorp.
Mediacorp dan beIN SPORTS hari ini (8 Ogos) mengumumkan satu kerjasama bagi membawa program-program sukan ke platform video digital itu.
Para pelanggan boleh menikmati dua pakej - Pas beIN SPORTS dan Pas Piala Dunia Ragbi - pada sebarang peralatan mereka bila langganan diaktifkan.
Pas beIN SPORTS menawarkan akses tanpa had kepada perlawanan secara langsung dan atas permintaan daripada kejohanan Liga Juara-Juara UEFA, Liga Europa, La Liga, Ligue 1, MLS dan banyak lagi.
Para pelanggan boleh memilih daripada pelan-pelan langganan berbeza, pada harga $9.98 sebulan atau $68.98 bagi seluruh musim.
Para peminat ragbi pula boleh memilih Pas Piala Dunia Ragbi yang akan menyiarkan semua perlawanan kejohanan itu yang akan berlangsung di Jepun dari 20 September hingga 2 November.
Para pelanggan yang mendaftarkan diri dari sekarang hingga 31 Ogos berpeluang mendapatkan harga diskaun pelanggan terdahulu iaitu $68.98 (berbanding harga biasa $78.98).
Selain daripada itu, para pelanggan Pas Piala Dunia Ragbi juga akan mendapat pas beIN SPORTS secara percuma sehingga 30 November.
- CNA/RU/ru