MCCY sokong semangat FAS ke arah kecemerlangan, perbincangan bagi Goal 2034 diteruskan
Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) akan terus berjumpa dan membincangkan projek Goal 2034, menurut kenyataan bersama oleh MCCY dan FAS hari ini (10 Mac).
SINGAPURA: Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) akan terus berjumpa dan membincangkan projek Goal 2034, menurut kenyataan bersama oleh MCCY dan FAS hari ini (10 Mac).
"Goal 2034 adalah aspirasi jangka panjang, dan satu pendirian kita bagi cita-cita dan keinginan FAS untuk memajukan bola sepak Singapura ke persada lebih tinggi, dan membuat Singapura bangga," menurut kenyataan itu.
Ia juga menambah, MCCY "mengalu-alukan dan menyokong semangat FAS ke arah kecemerlangan."
Kenyataan itu dibuat menyusuli komen oleh Setiausaha Parlimen Kanan MCCY Baey Yam Keng di Parlimen pada Jumaat (6 Mac) bahawa Goal 2034, iaitu pelan yang menyasarkan pasukan nasional bola sepak Singapura layak bagi Piala Dunia FIFA 2034, adalah matlamat yang tidak ditetapkan oleh Pemerintah tetapi oleh FAS.
"Goal 2034 adalah matlamat yang ditetapkan oleh FAS. Ia bukan satu matlamat yang ditetapkan oleh Pemerintah. Jadi peranan Pemerintah adalah untuk menyokong Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) sewajarnya," kata Encik Baey, menjawab pertanyaan semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan MCCY.
Sebagai respons, jawatankuasa eksekutif FAS menyatakan dalam satu kenyataan pada Jumaat bahawa adalah "sukar" bagi Goal 2034 untuk berjaya jika ia tidak mendapat sokongan pemerintah.
"Goal 2034 semestinya adalah aspirasi jangka panjang. FAS amat berbesar untuk memimpin ke arah matlamat itu, tetapi ia harus menjadi matlamat negara ini, dan semua pihak berkepentingan. Ini akan memberi kita peluang terbaik untuk berjaya," kata FAS.
"Atas dasar itu, agak mengejutkan untuk mendengar Encik Baey Yam Keng berkata di Parlimen bahawa Goal 2034 bukanlah matlamat Pemerintah, dan ia hanyalah matlamat FAS. Bukan sebagaimana yang kami difahamkan."
Kenyataan bersama yang dikeluarkan itu juga menyatakan FAS memberi taklimat kepada MCCY dan pihak berkepentingan utama tahun lalu mengenai rancangan untuk Goal 2034, dan FAS memperhalusi pelannya berdasarkan maklum balas.
"FAS dan MCCY akan terus bertemu untuk membincangkan projek Goal 2034, mewujudkan pemahaman dan penyelarasan lebih baik pada rancangan itu," tambah kenyataan itu.
FAS juga mendapatkan maklum balas pihak berkepentingan yang lain termasuk Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura, untuk "terus memperhalusi" wawasan dan rancangannya bagi Goal 2034.
"FAS dan MCCY ingin melihat lebih banyak pihak berkepentingan - termasuk semua rakyat Singapura yang minat sukan bola sepak - untuk bersama-sama berusaha ke arah mencapai visi ini dan menyokong Goal 2034, sebagai satu projek negara," menurut kenyataan itu.
Naib Presiden FAS Edwin Tong dalam satu wawancara bersama the Straits Times yang disiarkan pada Ogos tahun lalu berkata bahawa visi ke arah melayakkan diri bagi Piala Dunia FIFA 2034 adalah matlamat "realistik" untuk Singapura.
Ini bukan kali pertama Singapura menetapkan sasaran untuk beraksi di temasyas bola sepak itu.
Pada 1998, Singapura menetapkan untuk melayakkan diri bagi Piala Dunia 2010. Perdana Menteri ketiak itu Encik Goh Chok Tong berkata insiatif itu yang dinamakan sebagai Goal 2010, adalah "berani dan bercita-cita tinggi".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.