Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mari kenali Nur'Aini Yasli atlit 'powerlifting' pertama S'pura bertanding Paralimpik Tokyo

Di tengah-tengah kehangatan Sukan Olimpik sekarang ini, atlit angkat berat 'powerlifting' Singapura Nur’Aini Mohamad Yasli bakal mencatat sejarah sebagai yang pertama dari Singapura untuk menyertai Paralimpik Tokyo. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Di tengah-tengah kehangatan Sukan Olimpik sekarang ini, atlit angkat berat 'powerlifting' Singapura Nur’Aini Mohamad Yasli bakal mencatat sejarah sebagai yang pertama dari Singapura untuk menyertai Paralimpik Tokyo.

Dengan tinggal hanya sebulan sahaja lagi, olahragawati negara itu giat bersiap sedia secara fizikal dan mental.

Di Jepun nanti, Aini akan bertarung dengan sembilan atlit lain dalam kategori wanita 45 kilogram.

Tumpuan Aini kini adalah untuk memastikan kesihatan bahagian belakangnya terjaga kerana inilah "bahagian paling penting" dalam sukan ini.

"Apabila membawa turun 'barbell' tersebut kita harus mengecutkan bahagian belakang kami, jadi 'barbell' itu tidak bergerak banyak. Itu adalah yang paling penting, bahagian paling penting yang selalu diberi lebih tumpuan.

"Saya akan buat latihan di 'bench press' dan juga akan berlatih di gim. Jadi, pada hari yang saya tidak berlatih, saya buat latihan mobiliti untuk memastikan bahawa kesihatan bahu saya baiklah dalam waktu pemulihan," jelas Aini.

SEDAR KEBAIKAN ANGKAT BERAT 'POWERLIFTING'

Aini sebenarnya berdepan dengan cabaran mempunyai tubuh kecil. Pada usia 29 tahun, ketinggian Aini hanya 1.36 meter kerana menghidap displasia pelbagai epifisis.

"Pada mulanya pun saya juga ada rasa risau bahawa ia akan menjejas keadaan saya. Tapi setelah berlatih dan juga memahami sukan ini dengan lebih mendalam, saya dapati bahawa ada kebaikannya juga.

"Ia membantu menguatkan tulang saya dan memulihkan sendi saya juga," kongsi beliau.

Atlit angkat berat 'powerlifting' Singapura Nur’Aini Mohamad Yasli. (Gambar: BERITAmediacorp)

Tambah Aini, teknik mengangkat berat yang betul juga mengurangkan risiko mengalami kecederaan sambil membantu menguatkan otot-otot.

Namun demikian, cabaran terbesar bagi Aini bukannya latihan fizikal mahupun mental tapi sebenarnya menjaga pemakanan dan mengekalkan berat badannya.

"Saya memang suka makan (tapi) kerana saya bertanding dalam kategori 45 kilogram, jadi berat badan saya tidak boleh mencecah lebih dari 45 kilogram, jadi itu kesukaran bagi saya.

"Jadi saya mendapat pertolongan dari pakar diet di Institut Sukan Singapura. Dia beri saya pelan hidangan, jadi saya dapat menjaga berat badan dan juga berlatih dengan berkesan," kongsi Aini.

RANGKUL PINGAT GANGSA DI DUBAI

Namun yang pasti, beliau kini seorang atlit bertaraf antarabangsa.

Bulan lalu, Aini berjaya merangkul pingat gangsa bagi kategori 45 kilogram wanita setelah mengangkat 81 kilogram dalam kejohanan Piala Dunia ‘Powerlifting’ Paralimpik Fazza ke-11 di Dubai.

Ini sekali gus memperbaiki rekod peribadinya sebelum ini dengan sebanyak 16 kilogram.

Bagi Paralimpik Tokyo nanti, Aini berazam mencipta satu lagi rekod peribadi - iaitu dengan mengangkat 85 kilogram.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Namun pada jangka panjang, beliau berharap lebih ramai orang lebih berminat dan mengambil tahu tentang sukan tersebut.

"Saya harap dengan dengan penglibatan saya di Paralimpik Tokyo, orang ramai akan lebih mengetahui tentang sukan 'powerlifting' ini... dan juga ramai orang akan tampil untuk cuba, terutama sekali orang yang kurang upaya," luah beliau.

Menurut Aini ada beberapa atlit lain yang sedang berlatih dan bersiap sedia untuk menyertai pertandingan-pertandingan lain.

"Jadi kita ada beberapa atlit Melayu juga tapi masih berkembanglah buat masa ini," kongsi Aini lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan