Images
  • maradona
    Diego Maradona dibenarkan pulang selepas dirawat kerana mengalami pendarahan dalam perut. (Gambar fail: Roberto Armenta/Reuters)

Maradona dibenar pulang dari hospital selepas alami pendarahan perut

BUENOS AIRES: Legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona, dibenarkan pulang ke rumah selepas dirawat selama beberapa jam di sebuah klinik swasta di Buenos Aires pada Jumaat (4 Jan) kerana mengalami pendarahan dalam perut, kata anak perempuannya Dalma.

Berpuluh-puluh peminat dan wartawan sebelum ini menunggu di luar Klinik Olivos, di mana Maradona menjalani rawatan.

Media tempatan melaporkan bahawa Maradona, 58 tahun, pergi ke klinik itu bagi menjalani pemeriksaan kesihatan biasa. Bagaimanapun, para doktornya mengesan pendarahan di dalam perut beliau dan kemudian melakukan ujian lanjut.

Menurut akhbar Clarin, Maradona memerlukan 'pembedahan kecil' sambil menambah bahawa keadaannya tidak serius.

Cik Dalma turut memberikan jaminan mengenai kesihatan bapanya kepada para peminat. Beliau berkata adik perempuannya, Giannina, kini berada bersama bapanya - bekas pemain kelab Boca Juniors, Barcelona dan Napoli - di hospital.

Sejak September lalu, Maradona bekerja sebagai jurulatih sebuah kelab bola sepak di Mexico.

Beliau baru-baru ini kembali ke Argentina untuk meraikan perayaan Krismas dan Tahun Baru dengan anak-anak serta cucu-cucunya. 

- Reuters/MU/ai

Top