Images
  • tang weng fei
    Encik Tang Weng Fei di sidang media. (Gambar: Matthew Mohan) 

Mantan presiden umum hasrat pimpin Singapore Athletics, utamakan disiplin

SINGAPURA: Mantan Presiden Singapore Athletics (SA) Tang Weng Fei hari ini (22 Jun) mengumumkan hasratnya untuk bertanding bagi jawatan presiden jawatankuasa pengurusan sukan tersebut dalam pemilihan dwitahunan akan datang.

Beliau turut menekankan perlunya sebuah pasukan yang berdisiplin dan bersatu-padu untuk menerajui sukan tersebut di Singapura.

Bercakap di Hotel Intercontinental di mana beliau mendedahkan lapan calon bagi jawatankuasanya, Encik Tang berkata bahawa memupuk disiplin adalah keutamaan dan 'kod tatalaku' yang kukuh adalah penting.

Anggota pasukannya terdiri daripada bekas atlit Olimpik Poh Seng Song dan Ang Peng Siong, Malik Aljunied, Sheena Hu, S Govindaraju, Kenny Lim dan Belinda Foo.

Pemilihan itu dijangka akan berlangsung bulan depan, tertakluk kepada kelulusan Pejabat Pendaftaran Persatuan (ROS) bagi pindaan perlembagaan SA.

SA dilanda kemelut dalaman di kalangan anggota jawatankuasanya baru-baru ini, dengan satu mesyuarat agung luar biasa diadakan pada Mei 2017, hanya 10 bulan selepas presiden sedia ada, Ho Mun Cheong meyandang jawatan tersebut.

"Saya berpandangan kami harus memupuk (disiplin) bukan saja dalam kalangan atlit negara. Ia harus dipupuk dari kecil lagi semasa mereka di sekolah rendah, sekolah menengah dan sedang mereka melangkah maju dalam ekosistem itu," katanya.

"Namun, saya mahu melanjutkan perkara itu bukan saja dalam kelangan atlit tetapi juga para pegawai dan jurulatih. Ramai jurulatih yang tidak bekerjasama, mereka anggap diri mereka terbaik.

"Penting untuk pasukan yang diberi tanggungjawab menguruskan sukan olahraga di Singapura untuk saling bekerjasama dan bersatu memperbaiki sukan tersebut," tambahnya.

- CNA/SM/sm

Top