Images
  • trent liverpool
    Pemain pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold. (Gambar: Russell Cheyne/REUTERS)

Manchester United haramkan penyokongnya setelah dituduh bersifat perkauman

LONDON: Manchester United mengharamkan seorang penyokong daripada menjejakkan kaki ke Old Traffod setelah dia dituduh menghalakan ucapan berbaur perkauman ke arah pemain Liverpool semasa perlawanan pada Ahad (20 Okt) yang berakhir dengan keputusan seri 1-1, menurut kelab itu.

Penjaga United mengusir penyokong berkenaan, yang menurut laporan media Britain menyasarkan pemain pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold, semasa separuh pertama perlawanan.

"Menyusuli siasatan kami terhadap tuduhan insiden perkauman pada Ahad, kami mengeluarkan pengharaman tetap terhadap individu terbabit," menurut seorang jurucakap United kepada media Britain.

"Individu tersebut tidak diingini hadir ke Old Trafford dan kami ingin menekankan kami akan terus mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang kami kenal pasti melontarkan ucapan perkauman atau bersifat diskriminasi, sama ada secara online atau di perlawanan kami."

"Perkauman dan segala bentuk diskriminasi tidak boleh diterima sama sekali dan tidak sejajar dengan nilai-nilai kelab kami."

Kenyataan itu menambah peminat itu boleh mengemukakan rayuan terhadap langkah itu.

Liga Perdana England menggesa para peminat untuk melaporkan sebarang bentuk penderaan di perlawanan-perlawanan sebagai sebahagian kempen 'No Room for Racism' atau Tiada Ruang untuk Perkauman.

Pengharaman oleh United itu adalah yang terbaru dalam siri insiden bersifat perkauman semasa perlawanan-perlawanan bola sepak di Britain hujung minggu lalu.

- REUTERS/TQ/fz

Top