Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Manchester City gandakan luka Arsenal

Hasrat Arsenal untuk sekurang-kurangnya merapatkan jurang dengan pasukan di tangga kelima, Chelsea, lebur apabila tewas 3-0 di tangan Manchester City dalam aksi liga di Stadium Emirates, awal pagi tadi (2 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Manchester City gandakan luka Arsenal

Bernado Silva dari Manchester City menendang bola ke arah gawang Arsenal. (Gambar: GLYN KIRK/AFP)

Diterbitkan : 02 Mar 2018 09:32AM Dikemas Kini : 02 Mar 2018 09:35AM

LONDON: Hasrat Arsenal untuk sekurang-kurangnya merapatkan jurang dengan pasukan di tangga kelima, Chelsea, lebur apabila tewas 3-0 di tangan Manchester City dalam aksi liga di Stadium Emirates, awal pagi tadi (2 Mac).

Skuad kendalian Arsene Wenger itu turun padang di hadapan penyokong sendiri dengan keazaman untuk menebus kekalahan kepada lawan sama, setelah tumpas, juga dengan jaringan sama di perlawanan akhir Piala EFL, hujung minggu lalu, menurut laporan Astro Awani.

Bagaimanapun, cita-cita itu ibarat direntap apabila Bernardo Silva bijak melencongkan bola melepasi Petr Cech dan menerjah jaring tatkala perlawanan baru berlangsung selama 15 minit.

Penyerang England, Danny Welbeck, dijatuhkan di depan petak penalti oleh Nicolas Otamendi sehingga menyebabkan pemain pertahanan Argentina itu dilayangkan kad kuning pertama perlawanan tersebut pada minit ke-19. Namun, Gunners terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan menerusi tendangan percuma itu apabila percubaan Granit Xhaka ditepis keluar Ederson Moraes.

Sebaliknya, pasukan lawan yang menambah gol sembilan minit kemudian. Kali ini, menerusi pemain tengah Sepanyol, David Silva.

Tindakan Sergio Aguero memperdayakan tiga pemain pertahanan untuk mengumpan bola buat bekas pemain Valencia itu membolehkannya mudah menewaskan Cech untuk meletakkan City selesa dengan kedudukan 2-0.

City seakan-akan begitu selesa dengan setiap percaturan di Emirates dengan giliran Leroy Sane pula meletakkan namanya dalam senarai penjaring lima minit selepas itu apabila dia menyempurnakan hantaran lintang Kyle Walker dari sebelah kanan.

Penyerang yang baru tiba dari Borussia Dortmund pada Januari lalu, Pierre-Emerick Aubameyang, berpeluang untuk merapatkan jurang buat tuan rumah selepas lapan minit separuh masa kedua bersambung, namun Ederson tangkas menepis bola tendangannya.

Segalanya kelihatan tidak menjadi buat para pemain Wenger dan kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus meletakkan Gunners terus di tempat keenam liga dengan 45 mata, lapan mata di belakang Chelsea yang menduduki tangga kelima.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan