Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Man Utd ranapkan rekod tanpa kalah Man City; Liverpool kalah lagi di padang sendiri

Rekod tanpa kalah Manchester City hancur berkecai apabila pasukan itu tewas 2-0 di tangan jirannya, Manchester United pada Ahad (7 Mac), yang sekali gus menamatkan rekod 21 kemenangan City dalam semua pertandingan sejauh ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Man Utd ranapkan rekod tanpa kalah Man City; Liverpool kalah lagi di padang sendiri

(Gambar: Pool via REUTERS/Laurence Griffiths)

Diterbitkan : 08 Mar 2021 08:16AM Dikemas Kini : 08 Mar 2021 08:22AM

MANCHESTER: Rekod tanpa kalah Manchester City hancur berkecai apabila pasukan itu tewas 2-0 di tangan jirannya, Manchester United pada Ahad (7 Mac), yang sekali gus menamatkan rekod 21 kemenangan City dalam semua pertandingan sejauh ini.

United mendahului permainan seawal minit kedua apabila Bruno Fernandes menyempurnakan tendangan penalti setelah penyerang Perancis, Anthony Martial dijatuhkan dalam petak penalti.

Jaringan hebat pemain pertahanan Luke Shaw pada awal separuh masa kedua memastikan United membawa pulang tiga mata daripada perlawanan tersebut.

Walaupun City masih mendahului Liga Perdana England (EPL) dengan kelebihan 11 mata dengan baki 10 perlawanan sebelum musim ini berakhir, United yang menduduki tempat kedua, berjaya mendedahkan kelemahan pada pasukan anak didik Pep Guardiola itu.

Kemenangan United meletakkan mereka pada kedudukan yang cukup kukuh untuk merebut antara empat tangga teratas liga, dengan United kini mendahului Everton dengan kelebihan lapan mata. Everton yang menduduki tangga kelima bakal berentap dengan pasukan di tangga keempat, Chelsea, di Stamford Bridge hari ini.

Sementara itu, prestasi hambar Liverpool nampaknya berlarutan apabila ia tewas di padang sendiri buat kali keenam berturut-turut - kali ini kalah 1-0 di tangan Fulham yang hampir tersingkir dari EPL. Dengan kekalahan itu, Liverpool kini menduduki tangga kelapan.

Kemenangan Fulham di Anfield itu adalah yang pertama bagi pasukan dari London itu sejak 2012.

Fulham berjaya membolosi benteng pertahanan Liverpool melalui jaringan Mario Lemina pada separuh masa pertama.

"Pasukan ini adalah pasukan yang ekstrem. Kami sebelum ini berjaya dengan ekstrem dan sekarang kami juga menghadapi situasi yang ekstrem tetapi kami akan terus berjuang," kata pengurus Liverpool, Juergen Klopp.

Kemenangan Fulham meletakkan mereka setara dari segi kutipan mata dengan Brighton & Hove Albion di tangga ke-17 dan hanya satu mata di belakang Newcastle United, yang hanya mampu seri 0-0 dengan West Bromwich Albion.

"Ini satu kemenangan besar. Penuh emosi dan saya sangat berbangga dengan keputusan ini," kata pengurus Fulham, Scott Parker. 

Sumber : Reuters/Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan