Images
  • united v leicester
    Para pemain Manchester United raikan kemenangan ke atas Leicester City (Gambar: Reuters)

Man United dan Chelsea cemerlang, Villa terselamat

MANCHESTER: Manchester United dan Chelsea menempah tempat di Liga Juara-Juara dengan kemenangan pada hari terakhir musim Liga Perdana England manakala Watford dan Bournemouth tersingkir bersama dengan kelab tercorot, Norwich City.

Aston Villa terselamat setelah seri 1-1 di West Ham United dengan 35 mata, kelebihan satu mata berbanding Bournemouth, yang tersingkir meskipun menang 3-1 ke atas Everton, dan Watford yang tewas 3-2 di Arsenal.

Sepakan penalti dari Bruno Fernandes dan gol saat-saat akhir dari Jesse Lingard memberikan United kemenangan 2-0 di Leicester City, yang gagal layak ke Liga Juara-Juara dengan menduduki tempat kelima dan harus berpuas hati dengan kelayakan Liga Europa.

Chelsea menduduki tempat keempat setelah mengatasi Wolverhampton Wanderers 2-0 hasil gol dari Mason Mount dan Olivier Giroud.

Tottenham Hotspur dipimpin Jose Mourinho, yang seri 1-1 di Crystal Palace, juga layak ke Liga Europa setelah menduduki tempat keenam.

HANYA PERLUKAN 1 MATA

Keputusan seri dengan Southampton dan West Ham sebelum ini bermakna United memerlukan sekurang-kurangnya satu mata di stadium King Power dan walaupun mereka sekali lagi kelihatan letih dan tampak gentar, pasukan Ole Gunnar Solksjaer itu tetap berjaya menyempurnakan tugas mereka.

Fernandes, tunggak kebangkitan United pada separuh kedua musim, membantu United mendahului perlawanan pada minit ke-71 setelah Anthony Martial dijatuhkan dalam kotak penalti.

Kemenangan berada dalam genggaman apabila pemain gantian Lingard membolosi penjaga gawang Leicester, Kasper Schmeichel di tepi kotak penalti dan menyumbatkan gol ke dalam gawang yang tidak diawasi.

Chelsea juga hanya memerlukan satu mata di Stamford Bridge untuk menjamin tempat dalam pertandingan pasukan teratas di Eropah dan tendangan percuma yang cemerlang dari Mount dan penyempurnaan oleh Giroud meletakkan mereka dua gol di hadapan sebelum waktu rehat - jurang gol yang gagal dirapatkan Wolves.

Juara liga, Liverpool menyempurnakan musim cemerlang mereka dengan kemenangan 3-1 di Newcastle United untuk meraih 99 mata, 18 di hadapan Manchester City di tempat kedua yang menundukkan Norwich 5-0.

- Reuters/TQ/tq

Top