Images
  • city vs basel
    Kevin Bua cuba merampas bola daripada Yaya Toure dalam perlawan Liga Juara-Juara semalam (7 mac). (Gambar: RUI VIEIRA/AP)

Man City mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah meski tewas

MANCHESTER: Manchester City mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah semalam (7 Mac) meskipun mempamerkan prestasi yang tidak meyakinkan lebih-lebih lagi setelah pasukan yang membariskan pemain-pemain muda itu kecundang 1-2 di padang sendiridi tangan FC Basel.

Walau bagaimanapun, kejayaan Manchester City membelasahi kelab Switzerland itu tiga minggu lalu tidak sia-sia kerana pasukan di kedudukan pertama Liga Perdana England tersebut selesa mara ke peringkat selanjutnya dengan agregat 5-2. Malah, kekalahan semalam merupakan hanya yang keempat bagi City musim ini.

Kesebelasan utama pilihan Pep Guardiola semalam jauh beza berbanding yang tampil menewaskan Chelsea 1-0 Ahad lalu (4 Mac) dengan enam pemain utama direhatkan. Namun, Manchester City tetap mampu menambah agregat pada awal perlawanan semalam apabila Gabriel Jesus menjaringkan gol hanya lapan minit selepas perlawanan bermula.

Sembilan minit kemudian, Mohamed Elyounoussi dari pasukan lawan berjaya memanfaatkan kelemahan barisan pertahanan Manchester City untuk membolosi gawang dan menyamakan kedudukan sebelum juara Switzerland itu menambah golnya melalui tendangan Michael Lang 19 minit sebelum perlawanan berakhir.

City tetap memerlukan pemain-pemain utamanya seperti Sergio Aguera, Kevin de Bruyne dan David Silva untuk memenuhi cita-cita pemilik kelab itu untuk menjadi pemenang Liga Juara-Juara Eropah buat pertama kali kerana pemain-pemain muda yang tampil semalam gagal menunjukkan prestasi yang meyakinkan.

Keputusan Liga Juara-Juara Eropah:

Manchester City 1 Basel 2

(Man City menang dengan agregat 5-2)

Tottenham 1 Juventus 2

(Juventus menang dengan agregat 4-3)

- AFP/SM/sm

Top