Images
  • Pep Guardiola
    Pep Guardiola. (Gambar: Reuters/Carl Recine)

Man City juara Piala Liga kali keempat berturut-turut

LONDON: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata sambutan kemenangan adalah lebih baik dengan kehadiran para penonton selepas menewaskan Tottenham 1-0 di Wembley bagi menjulang Piala Liga buat kali keempat berturut-turut di hapadan 8,000 penyokong pada pagi Ahad.

Tandukan Aymeric Laporte lapan minit sebelum tamat perlawanan akhirnya memberikan kejayaan kepada City ketika mereka melanjutkan penantian 13 tahun Spurs untuk memenangi trofi.

Buat pertama kali dalam 13 bulan, perlawanan bola sepak di England dibuka kepada para penyokong dari kedua-dua pasukan di dalam stadium dalam salah satu siri acara percubaan di Wembley yang boleh menampung 90,000 penonoton.

"Ia tidak penuh, tapi jauh lebih baik," kata Guardiola. "Untuk meraikannya bersama mereka adalah lebih baik.

"Kami bermain dengan cemerlang. Kami sangat gembira menang gelaran pertama, kali keempat berturut-turut dalam kejohanan ini, tetapi terutamanya kerana dalam 33 perlawanan terakhir, kami menang 30."

Kekalahan kepada Chelsea pada separuh akhir Piala FA minggu lalu bermakna City tidak boleh menjulang empat kejuaraan musim ini.

Kemenangan itu menjadikan kesemuanya 25 piala utama dalam genggaman peribadi Guardiola sepanjang kerjayanya mengendalikan Barcelona, Bayern Munich dan City dengan tujuh daripadanya di England.

"Saya berada dalam kelab-kelab besar: Barcelona, Bayern Munich dan oleh itu ia lebih mudah dilakukan," katanya dengan rendah hati.

Sebaliknya, penantian lama Tottenham untuk satu-satunya piala berterusan.

Son Heung-min menangis selepas tamat perlawanan tetapi dalam perlawanan kedua yang dikendalikan sementara oleh Ryan Mason, Spurs diatasi oleh sebuah pasukan yang jauh lebih baik.

"Adalah sukar untuk setiap orang yang ada kaitan dengan kelab bola sepak itu," kata bekas pemain tengah Tottenham, Mason.

"Ia menyakitkan. Saya tahu perasaan itu dan kekecewaan adalah perkara biasa. Pasukan pemain ini amat mengambil berat tentang kelab bola sepak ini. Kami cuba tetapi ia tidak cukup hari ini dan ia sukar diterima."

- AFP/NA/na

Top