Images
  • west brom man city
    Perlawanan EPL antara Manchester City dengan West Bromwich Albion pada 26 Jan 2021 (Gambar: REUTERS/Laurence Griffiths)

Man City belasah West Brom 5-0 untuk rampas tempat pertama EPL

WEST BROMWICH: Manchester City kembali ke tangga teratas Liga Perdana England (EPL) pada Selasa (26 Jan) setelah mengalahkan West Bromwich Albion 5-0 di Hawthorns.

City, yang menjaringkan tiga gol dalam masa 30 minit pertama perlawanan, kini memperolehi 41 mata, dengan hanya satu mata saja yang memisahkan pasukan tersebut dengan jirannya Manchester United yang juga sudah bermain 19 perlawanan dan akan kembali ke persada liga jika United menewaskan pasukan corot Sheffield United di Old Trafford pada Rabu.

Ilkay Gundogan meletakkan City di hadapan pada minit keenam setelah mengawal bola dengan cekap semasa menerima hantaran Joao Cancelo untuk menjaringkan gol pertama itu.

Cancelo kemudian menjadikan kedudukan 2-0 melalui satu lagi jaringan hebat walaupun West Brom tidak berpuas hati dengan keputusan penolong pengadil.

Gundogan yang bertindak cemerlang menjaringkan gol keduanya, sekali gus jaringan ketiga City pada minit ke-30, dengan merampas bola dari Romaine Sawyers di pinggir petak penalti, menggelecek Dara O'Shea dan menjaringkan gol tersebut.

Riyad Mahrez pula menambah satu lagi jaringan untuk menjadikan kedudukan 4-0, memintas dari sebelah kanan sebelum melepaskan rembatan yang kencang untuk menewaskan Sam Johnstone yang tidak berdaya untuk menyelamatkan jaringan tersebut.

Penyerang England, Raheem Sterling menjaringkan gol kelima City pada minit ke-57.

Kemenangan itu adalah yang ke-11 berturut-turut dalam semua pertandingan bagi anak didik Pep Guardiola.

West Brom pula masih terjerat di tangga kedua paling corot dengan 11 mata, enam mata dari zon selamat. Benteng pertahanan West Brom sudah dibolosi 22 kali dalam lima perlawanan liga di padang sendiri, sekali gus merupakan paling banyak kali dibolosi dalam perlawanan liga utama sejak Aston Villa mengalami nasib yang serupa pada Disember 1935 (22 gol).

- Reuters/TQ/tq

Top