Images
  • mahrez man city
    Pemain Manchester City Riyad Mahrez beraksi semasa Piala FA separuh akhir menentang Arsenal pada 18 Jul 2020. (Gambar: REUTERS)

Man City batalkan perlawanan persahabatan di Perancis dek syarat kuarantin

LONDON: Manchester City membatalkan perlawanan pra-musim di Perancis menentang Troyes disebabkan oleh syarat-syarat kuarantin Britain, menurut juara Liga Perdana England (EPL) itu pada Rabu (21 Jul).

Sesiapa yang tiba di Britain dari Perancis mesti dikuarantin di rumah atau di tempat penginapan lain selama lima hingga 10 hari, di bawah peraturan kerajaan Britain.

"Kedua-dua kelab sudah menimbangkan pilihan untuk meneruskan perlawanan itu, tetapi perubahan pada peraturan baru kerajaan bagi kuarantin untuk pelancong yang kembali dari Perancis telah menjadikan syarat-syarat itu terlalu sukar untuk diatasi," menurut City.

Troyes yang baru dinaikkan ke Ligue 1 adalah sebahagian daripada City Football Group yang dimiliki oleh entiti di Abu Dhabi, yang turut menjadi pemilik kepada pasukan New York City dan pasukan Sepanyol, Girona.

Kesebelasan utama City akan meneruskan persiapan pra-musim di Manchester, tanpa rancangan untuk menggantikan perlawanan persahabatan tersebut.

City akan berdepan dengan pasukan divisyen dua Preston North End tanpa kehadiran penonton bagi perlawanan persahabatan pada 27 Julai sebelum menentang pemenang Piala FA, Leicester City bagi merebut Piala Sumbangsih di Stadium Wembley, London pada 7 Ogos.

- Reuters/TQ/tq

Top