Images
  • Syed Saddiq sukan
    Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, semasa kunjungan ke Majlis Sukan Negara Malaysia. (Gambar: Syed Saddiq/Instagram)

Malaysia latih pemain basikal lajak jadi pelumba negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan Malaysia sedang melatih kanak-kanak dan remaja yang bermain basikal lajak, dengan harapan melahirkan pelapis dan jaguh sukan basikal bagi mewakili Malaysia pada masa depan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata kementerian itu menyediakan bengkel latihan serta pelatih profesional kepada kumpulan pemain basikal lajak bagi memastikan minat mereka disalurkan ke arah sesuatu yang lebih bermanfaat.

“Ini sesuatu yang kementerian sudah lakukan sebelum insiden kemalangan membabitkan basikal lajak. Kita sudah laksanakan banyak bengkel latihan kepada kumpulan basikal lajak.

“Tidak cukup sekadar sediakan litar kerana aspek keselamatan tak diutamakan. Basikal yang mereka ubah suai tiada brek, tidak gunakan peralatan keselamatan serta dipandu di kawasan berbukit.

“Jadi kita sediakan peralatan basikal pegun untuk mereka gunakan, yang mana ia dapat membina otot dan kelajuan, sekali gus melatih mereka menjadi pelumba basikal Malaysia satu hari nanti,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini

Beliau diminta mengulas cadangan beberapa pihak supaya Kementerian Belia dan Sukan membina litar khas supaya kanak-kanak dan remaja dapat menggunakannya untuk aktiviti basikal lajak secara selamat.

Mengulas lanjut, Encik Syed Saddiq menjelaskan, bengkel latihan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti basikal lajak.

“Dalam program terakhir yang saya sendiri sertai di Gombak, ada kira-kira 150 komuniti basikal lajak yang turut bersama dalam bengkel itu,” katanya.

Encik Syed Saddiq turut menyokong jika individu yang suka mengubahsuai basikal lajak, dihantar ke Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara untuk menyerlahkan lagi bakat mereka.

Beliau juga sedang mendapatkan pandangan beberapa pihak berhubung inisiatif lain yang boleh dilakukan bagi menyalurkan minat kumpulan basikal lajak, tanpa mengenepikan aspek keselamatan.

- Agensi berita/HA/ha

Top