Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Makin ramai wanita jadi relawan Grand Prix F1 S'pura; pasukan relawan S'pura terbaik di dunia tahun lalu

Tahukah anda, 1 daripada setiap 4 sukarelawan Grand Prix F1 Singapura adalah sukarelawan wanita - iaitu antara yang tertinggi di dunia?

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tahukah anda, 1 daripada setiap 4 sukarelawan Grand Prix F1 Singapura adalah sukarelawan wanita - iaitu antara yang tertinggi di dunia?

Tahun lalu, terdapat lebih daripada 900 pegawai perlumbaan di sini dan merekalah yang memastikan setiap Grand Prix F1 berjalan lancar dan selamat.

Ini termasuk Nuurulhuda Russely, 32 tahun, yang sudah 8 tahun menyumbang masa dan tenaga demi sukan yang diminatinya itu.

KAUM WANITA HARUS BERANI MENYAHUT CABARAN

Sejak 2011, Nuurulhuda bergiat secara sukarela di setiap Grand Prix F1 di Singapura.

Bagi F1 September ini, beliau bakal memikul tanggungjawab yang lebih berat iaitu sebagai Penolong Ketua Sektor.

Walau gementar, Pegawai Eksekutif Khidmat Pelajar di SIM Global Education tersebut teruja dapat menambah jumlah wanita dalam sukan F1 sekaligus menolak persepsi bahawa ia didominasi golongan lelaki.

"Secara amnya dan juga jika kita lihat sejarah sukan ini,
memang penggiat dan juga sukarelawan-sukarelawannya adalah daripada kaum Adam. Tetapi ini tidak bermakna bahawa kaum Adam mendominasi sukan ini.

"Kita telah melihat sejak kebelakangan ini, lebih ramai daripada kaum wanita yang menyertainya. Di Singapura juga, 24 peratus daripada golongan sukarelawan adalah daripada kaum Hawa atau kaum wanita dan saya difahamkan, kita adalah yang tertinggi di dunia sekarang," kata Nuurulhuda.

Selain berbesar hati dapat mewakili negara di platform antarabangsa, beliau juga mengalu-alukan lebih ramai wanita turut sama.

"Sebagai wanita kita harus berani. Tidak gentar untuk menyahut apa-apa cabaran dan jika peluang itu ada untuk kita berbakti atau mencuba sesuatu yang baru, kita harus mencapai peluang itu," tambahnya.

LATIHAN INTENSIF HASILKAN PASUKAN TERBAIK DI DUNIA

Turut menyumbang sebagai sukarelawan F1 ialah ahli arbor NParks, Hizami Hasni yang sangat berminat dalam sukan ini.

"Saya memang berminat dengan perlumbaan sukan bermotor sejak dari kecil lagi dan yang paling utama dalam seluruh dunia ini adalah Formula 1. Jadi bila tibanya peluang untuk terlibat dalam Formula 1 di Singapura, saya memang tertarik dari dulu dari sejak 2018, untuk menjadi sukarelawan," kongsi peminat yang berusia 33 tahun itu.

Sebelum beraksi, para sukarelawan harus menjalani latihan intensif agar dapat mengendalikan tugas dengan baik.

"Latihannya akan mula meningkat apabila musim Formula 1 tiba pada bulan September. Sebelum itu, saya ada persefahaman keluarga sebelum saya boleh berlatih sebelum Formula 1 bermula," kata Hizami yang juga menambah bahawa sesi-sesi latihan diadakan pada hujung minggu agar tidak menganggu kerjaya mereka.

Malah disebabkan latihan-latihan tersebut, pasukan sukarelawan di Singapura dipilih sebagai pasukan sukarelawan yang terbaik di seluruh dunia oleh badan sukan F1, FIA (Fédération Internationale de l'Automobile) bagi musim 2018.

Bagi menarik lebih ramai individu untuk turut serta, para sukarelawan berkongsi pengalaman mereka bersama orang awam di Rumah Terbuka Pegawai F1 pada hujung minggu lalu.

Hampir 1,000 sukarelawan akan bertungkus lumus menjayakan perlumbaan F1 di Singapura dari 19 hingga 22 September ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan