Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

M'sia tuan rumah Piala Dunia 2034?

Malaysia berpeluang menjadi tuan rumah bersama jika bersepakat dengan tiga negara Asia Tenggara yang lain untuk melakukan bidaan bagi menganjurkan pusingan akhir kejohanan bola sepak Piala Dunia 2034.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia tuan rumah Piala Dunia 2034?

Gambar Hiasan Stadium Azteca di Bandar Mexico. (Gambar: Pedro Pardo/ AFP)

Diterbitkan : 17 Jun 2018 04:04PM Dikemas Kini : 17 Jun 2018 04:08PM

KUANTAN: Malaysia berpeluang menjadi tuan rumah bersama jika bersepakat dengan tiga negara Asia Tenggara yang lain untuk melakukan bidaan bagi menganjurkan pusingan akhir kejohanan bola sepak Piala Dunia 2034.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, berkata terpulang kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan kerajaan untuk memutuskan jika mahu menyertai Indonesia, Thailand dan Vietnam, yang sudah menyatakan hasrat bersepakat membida menjadi tuan rumah Piala Dunia pada tahun berkenaan.

"Asia Tenggara mempunyai peluang dan kekuatan untuk membida secara bersama seperti gandingan Amerika Syarikat, Mexico dan Kanda yang memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah edisi 2026,” kata mantan presiden FAM itu kepada media dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri di Istana Abdul Aziz semalam (16 Jun).

“Memang hakikatnya sudah sampai masa negara rantau Asia Tenggara diberi peluang dan masih mempunyai masa yang cukup mempertingkatkan infrastruktur dan memperkuatkan pasukan kebangsaan masing-masing,” tambah beliau.

Tengku Abdullah, yang baru pulang daripada menyertai Kongres FIFA di Moscow kelmarin (15 Jun), yakin Malaysia juga mampu menjadi salah sebuah negara tuan rumah berdasarkan kelengkapan prasarana yang ada.

Mengenai peluang pasukan-pasukan pakatan negara Asia Tenggara memperoleh slot istimewa, selaku tuan rumah, tanpa mengharapkan kuota Asia, Tengku Abdullah berkata perkara berkenaan akan dibincangkan selaras dengan cadangan pertambahan pasukan yang menyertai Piala Dunia kepada 48 pasukan pada 2026.

Kali terakhir format Piala Dunia diubah adalah pada 1998, yang menyaksikan pasukan yang bertanding ditambah daripada 24 pasukan kepada 32 pasukan.

Dalam pada itu, majlis rumah terbuka itu dihadiri lebih 5,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat serta orang kenamaan termasuk Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail dan mantan Menteri Besar Adnan Yaakob. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan