Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

M'sia tidak akan kompromi, terus sekat atlit Israel

Malaysia akan terus mempertahankan keputusannya untuk melarang para atlit Israel daripada bertanding dalam kejohanan antarabangsa yang dianjurkan negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia tidak akan kompromi, terus sekat atlit Israel

Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. (Gambar: Syed Saddiq/Instagram)

Diterbitkan : 28 Jan 2019 08:44AM Dikemas Kini : 28 Jan 2019 08:47AM

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus mempertahankan keputusannya untuk melarang para atlit Israel daripada bertanding dalam kejohanan antarabangsa yang dianjurkan negara itu.

Menteri Belia dan Sukan Malaysia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berganjak dengan keputusannya untuk menghalang penyertaan atlit Israel demi nasib rakyat Palestin meskipun negara itu terpaksa melepaskan peluang bagi menganjurkan kejohanan antarabangsa tersebut, lapor Malaysiakini.

"Malaysia bertegas dengan keputusan kita atas dasar kemanusiaan dan belas kasihan terhadap nasib Palestin. Kita tidak akan berkompromi.

"Sekiranya menjadi tuan rumah acara sukan antarabangsa lebih penting daripada berdiri membela saudara-saudara Palestin kita yang dibunuh, dicela dan diseksa oleh rejim (Perdana Menteri Benjamin) Netanyahu, ini bermakna Malaysia telah benar-benar kehilangan pegangan moral," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad (27 Jan).

Encik Syed Saddiq berkata demikian sebagai mengulas keputusan lembaga pengurusan Jawatankuasa Para Antarabangsa (IPC) untuk menarik balik kelayakan penganjuran kejohanan renang paralimpik antarabangsa di Malaysia.

Malaysia kehilangan hak untuk menghoskan Kejohanan Renang Paralimpik 2019 selepas Putrajaya memutuskan tidak akan membenarkan atlit Israel bertanding.

Dalam satu kenyataan semalam (27 Jan), Presiden IPC Andrew Parsons berkata: "Kesemua kejohanan dunia mesti terbuka untuk semua atlit dan negara yang layak untuk bersaing dengan selamat dan bebas daripada diskriminasi."

Pertandingan itu, yang merupakan satu acara renang yang penting bagi kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020, dijadual diadakan di Kuching dari 29 Julai hingga 24 Ogos.

Sekitar 600 perenang dari 60 negara sebelum ini dijangka mengambil bahagian dalam kejohanan di Kuching itu, dengan lebih 160 gelaran juara dunia dipertandingkan.

Malaysiakini menukil Encik Syed Saddiq, yang juga ketua pemuda Bersatu, sebagai berkata bahawa IPC perlu melaporkan mengenai dakwaan jenayah perang terhadap pemerintah Netanyahu.

Beliau bertegas: "Kami ingin mengingatkan kepada IPC bahawa malahan Amnesty International dan Human Rights Watch telah melaporkan pemerintah Netanyahu merupakan seorang pelaku aktif jenayah perang.

"Sebagai pemimpin Israel, beliau mewakili kehendak kolektif pemerintah Israel. Negara Israel mewakili kedudukan tindakan moral kolektif mereka."

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan