Images
  • everton liverpool
    Penjaga gol Everton beraksi selepas kesilapannya membenarkan pemain Liverpool, Divock Origi menyumbatkan gol. (Gambar: Oli Scarff/AFP)

Liverpool tewaskan Everton 1-0

LIVERPOOL: Gol pelik Divock Origi pada masa kecederaan menghadiahkan Liverpool kemenangan 1-0 ke atas Everton dalam perlawanan menarik antara dua tetangga Merseyside pada Ahad (2 Dis).

Kemenangan itu menyaksikan Reds terus mendekati pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City tetapi perlawanan itu pastinya mendapat perhatian Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) berikutan insiden di penghujung perlawanan.

Jurgen Klopp memohon maaf menerusi televisyen kerana meraikan gol Origi yang membuat penampilan sulung di Liga Perdana sejak Ogos 2017 dengan menjaringkan gol penentu gol pada minit ke-96.

Pengurus dari Jerman itu berlari ke tengah padang, melebihi bulatan tengah sebelum disertai kakitangan kejurulatihan dan pemain-pemain gantian Reds bagi meraikan jaringan bersama pemain dan penyokong.

Di satu lagi sudut di Anfield, peminat Everton melontarkan suar berwarna biru ke atas padang, satu lagi insiden yang dijangka akan berdepan tindakan daripada FA.

Walaupun Klopp mendakwa sudah memohon maaf kepada Marco Silva selepas perlawanan - dakwaan yang dinafikan oleh pengurus Everton itu, FA dijangka akan meneliti kembali insiden berkenaan.

“Sejurus selepas perlawanan saya meminta maaf kepada Marco Silva ketika kami bercakap,” kata Klopp. “Saya memberitahunya yang saya amat menghormati kerja yang dilakukannya.

“Apa yang saya boleh katakan mengenainya? Saya tidak mahu berlari. Ia tidak dalam rancangan saya. Saya tidak mahu berlari kepada Ali (Alisson), saya jelas tidak boleh berhenti. Ia tidak bagus, tetapi ia sudah berlaku.”

Silva menolak versi kejadian Klopp dengan berkata: “Dia tidak meminta maaf kepada saya. Sejujurnya, saya tidak melihatnya jadi saya tidak tahu apa yang dia lakukan dan bagaimana dia lakukannya

“Saya fikir dia juga tidak menyangka (gol lewat) jadi ia adalah hari yang bertuah untuknya,” tambah Silva lagi.

- AFP/EM/aq

Top