Images
  • sadio liverpool
    Pemain Liverpool Sadio Mane beraksi dengan Matthew Lowton dari Burnley dalam perlawanan EPL pada 19 Mei. (Gambar: Pool via REUTERS/Gareth Copley)

Liverpool naik tangga keempat setelah benam Burnley

BURNLEY: Liverpool naik ke tangga kelayakan Liga Juara-Juara Eropah setelah mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Burnley pada Rabu (19 Mei), sekali gus membawa pasukan itu memintas Leicester City ke tangga keempat dengan tinggal satu perlawanan saja sebelum Liga Perdana England (EPL) melabuhkan tirainya bagi musim ini.

Roberto Firmino menjaringkan gol pertama Liverpool dua minit sebelum waktu rehat dan tandukan Nathaniel Phillips menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-52 sebelum jaringan hebat Alex Oxlade-Chamberlain memberikan kemenangan keempat berturut-turut kepada bekas juara EPL itu.

Kemenangan itu meletakkan Liverpool di tangga keempat dengan pungutan 66 mata, mendahului Leicester City di kedudukan kelima dengan perbezaan gol memisahkan kedua-dua pasukan itu, sementara Chelsea pula menduduki tempat ketiga dengan kutipan 67 mata.

Burnley memperlihatkan prestasi yang lebih baik pada separuh masa pertama namun pasukan pelawat berjaya mendahului permainan apabila Sadio Mane mengumpan Andy Robertson pada sebelah kiri dan hantaran lintangnya dijaringkan oleh Firmino.

Phillips mengukuhkan lagi kedudukan Liverpool dengan tandukan kencang yang menyempurnakan hantaran Mane dari kiri. Jaringan pemain gantian, Oxlade-Chamberlain melengkapkan kemenangan Liverpool.

Anak didik Juergen Klopp akan berdepan dengan Crystal Palace di Anfield pada Ahad ini, sementara Chelsea akan bertandang ke Aston Villa dan Leicester menentang Tottenham Hotspur di pandang sendiri.

Juara EPL musim ini Manchester City dan seterunya Manchester United yang berada di tempat kedua sudahpun menjamin tempat dalam Liga Juara-Juara Eropah bagi musim akan datang.

- Reuters/TQ/tq

Top