Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Liverpool buka tirai EPL dengan kemenangan 4-1 ke atas Norwich

Perlawanan pembuka tirai Liga Perdana England (EPL) musim 2019/20 ternyata tidak mengecewakan para penyokong Liverpool apabila naib juara musim lalu itu membenam pendatang baru, Norwich City 4-1 di Anfield.

Anggaran Waktu Membaca:
Liverpool buka tirai EPL dengan kemenangan 4-1 ke atas Norwich

(Gambar: Carl Recine/Reuters)

Diterbitkan : 10 Aug 2019 07:41AM Dikemas Kini : 10 Aug 2019 07:44AM

LIVERPOOL: Perlawanan pembuka tirai Liga Perdana England (EPL) musim 2019/20 ternyata tidak mengecewakan para penyokong Liverpool apabila naib juara musim lalu itu membenam pendatang baru, Norwich City 4-1 di Anfield.

Jurgen Klopp memberi petunjuk awal kepada penyokong mengapa beliau tidak berbelanja besar semasa tempoh perpindahan yang baru sahaja berakhir pada Khamis dengan meneruskan momentum permainan musim lalu yang menyaksikan pasukan itu berjaya menjuarai Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim lalu.

Kesemua pemain bintang musim lalu, Divock Origi, Mohamed Salah dan Virgil van Dijk beraksi cemerlang untuk memastikan the Reds memulakan kempen musim baru ini dengan langkah kanan.

Liverpool bijak membuat hantaran pantas di ruang yang sempit tatkala pemain Norwich membanjiri kawasan gol mereka dalam usaha untuk mengecewakan jentera serangan pasukan tuan rumah.

Serangan bertali arus ke arah gawang Norwich membuahkan hasil seawal minit ke-7, apabila pemain pertahanan the Canaries, Grant Hanley tersepak bola ke dalam gawang sendiri selepas cuba mengeluarkan hantaran silang Origi.

Salah kemudian menggandakan jaringan Liverpool pada minit ke-19 untuk memulakan kempen memburu kasut emas ketiganya dan gelaran pertama EPL buat pasukannya.

Van Dijk kemudian menanduk masuk hantaran tendangan sudut Salah pada minit ke-28 untuk menyemarakkan lagi suasana gemuruh di Anfield.

Namun, malang menimpa Liverpool pada minit ke-37 yang kehilangan penjaga gol utama mereka, Alisson Becker yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan yang dialami selepas mengambil sepakan gol.

Keadaan itu menyaksikan Adrian yang baru sahaja menyertai Liverpool pada Isnin, menggantikan tempat Alisson.

Namun ia tidak mematahkan semangat Liverpool yang mendapat gol keempat selepas Origi menanduk masuk hantaran Trent Alexander-Arnold, 5 minit kemudian.

Kurang tiga minit selepas permainan bersambung di babak kedua, percubaan kapten pasukan Liverpool, Jordan Henderson ditepis penjaga gol Norwich, Tim Krul ke arah palang, sebelum Roberto Firmino gagal menyudahkan hantaran Alexander-Arnold.

Gawang Liverpool akhirnya dirobek selepas beberapa percubaan bahaya, menerusi pemain terbaik Norwich musim lalu, Teemu Pukki, yang menyempurnakan hantaran Emiliano Buendia.

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan