Images
  • liverpool uefa
    Liverpool meraikan kemenangan setelah menumpaskan pesaing Tottenham Hotspur 2-0 dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara UEFA di Madrid pada dinihari 2 Jun. (Gambar: Ben STANSALL/AFP)

Liverpool benam Spurs 2-0 untuk julang piala Liga Juara-Juara Eropah kali ke-6

MADRID: Ledakan gol oleh Mohamed Salah, yang merupakan antara gol terpantas di perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA, diikuti dengan jaringan minit-minit akhir Divock Origi membolehkan Liverpool menumpaskan Tottenham Hotspur 2-0 pada dinihari tadi (2 Jun) bagi menjulang piala berkenaan buat kali keenam.

Kali terakhir The Reds mengenggam piala kejuaraan Eropah pada 2005.

Kurang dua minit selepas aksi di Stadium Wanda Metropolitano berlangsung, penyerang Mesir, Salah, menyempurnakan tendangan penalti selepas bola terkena lengan Moussa Sissoko dalam kotak penalti.

Alisson Becker turut melakukan beberapa aksi menyelamat yang hebat sebelum pemain gantian, Origi, menyumbat gol kedua pada minit ke-87.

Ini mencetuskan suasana pesta buat peminat Liverpool di gelanggang Atletico Madrid itu yang menyaksikan mereka menebus kekecewaan daripada perlawanan akhir tahun lalu selepas tewas kepada Real Madrid 1-3.

Kemenangan itu turut mengubati luka Salah tahun lalu sewaktu penampilannya di Kiev, Ukraine, yang dirundung dengan kecederaan. Kemenangan tersebut juga mencetus kelegaan bagi Jurgen Klopp yang memenangi piala pertamanya sejak menjadi pengurus Liverpool selama tiga setengah tahun kini.

Ia turut menamatkan badi pengurus dari Jerman itu di perlawanan akhir kejohanan utama selepas enam kali berturut-turut pasukan pimpinannya tewas.

Lebih penting, ia adalah gelaran Piala Eropah keenam buat Liverpool yang mengukuhkan status mereka sebagai antara kuasa besar bola sepak dunia.

Mereka kini memiliki koleksi kejuaraan elit itu lebih daripada gergasi Sepanyol, Barcelona dan Bayern Munich selain seteru utama, Manchester United. 

- AFP/FZ/fz

Top