Images
  • liverpool man city
    Pengurus Liverpool Jurgen Klopp (kiri) dan pengurus Manchester City, Pep Guardiola. (Gambar: AFP/Oli SCARFF)

Liverpool akan cicir mata, kata Guardiola

MANCHESTER: Pep Guardiola percaya pasukan teratas Liga Perdana England, Liverpool, akan cicir mata antara sekarang hingga hujung musim, sedang pengurus Manchester City itu bersiap sedia menjelang perlawanan menentang pasukan Liverpool pada Khamis.

City belum dapat menyaingi prestasi Liverpool yang belum pernah kalah sejauh ini. Ini meskipun Man City memulakan musim dengan prestasi yang hebat. Pasukan itu bagaimanapun menduduki tangga ketiga, tujuh mata di belakang anak didik Jurgen Klopp yang akan mereka hadapi di Stadium Etihad.

Liverpool setakat ini hanya keciciran enam mata dan akan berentap dengan City selepas meraih sembilan kemenangan berturut-turut. Namun Guardiola tetap yakin pasukan itu akan membuat kesilapan di tengah-tengah jadual tempatan dan Eropah yang padat.

"Kami masih berjuang, masih banyak perlawanan dan saya rasa semua pasukan akan keciciran mata musim ini, termasuk Liverpool kerana persaingan sengit," beliau memberitahu para wartawan pada Rabu (2 Jan).

"Mereka hebat... menjaringkan empat atau lima gol setiap perlawanan. Mereka sangat kuat dari segi serangan dan pertahanan."

Guardiola berpendapat pasukannya perlu diberi pengiktirafan atas kejayaan mengutip 47 mata daripada 20 perlawanan liga. Beliau turut yakin akan terdapat peluang untuk menambahkan tekanan ke atas Liverpool selepas perlawanan Khamis ini.

MOTIVASI LIVERPOOL

Liverpool belum pernah menjuarai Liga England sejak tahun 1990, dua tahun sebelum penubuhan Liga Perdana. Guardiola percaya ia akan menjadi pembakar semangat bagi pasukannya untuk mengatasi pasukan pimpinan Jurgen Klopp, sama seperti bagaimana pasukannya sendiri terdorong untuk menjulang piala liga pada musim lalu dengan rekod kutipan 100 mata.

Guardiola juga berpendapat bahawa sejarah Liverpool yang hebat, termasuk 18 piala Liga England dan menjadi juara Eropah sebanyak lima kali, akan mendorong pasukan Klopp untuk memperbaiki pencapaian itu.

- AFP/TQ/tq

Top