Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Liga Perdana S'pura: Hingga 500 penonton dibenarkan mulai 13 Ogos

Sehingga 500 penonton akan dibenarkan hadir di pertandingan Liga Perdana Singapura (SPL) mulai Jumaat (13 Ogos), ditambah dari 100 sekarang ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Liga Perdana S'pura: Hingga 500 penonton dibenarkan mulai 13 Ogos

Penonton perlawanan SPL antara Albirex Niigata dengan Tanjong Pagar United di Stadium Jurong East pada 6 Ogos 2021. (Gambar fail: Facebook/AIA Singapore Premier League)

Diterbitkan : 12 Aug 2021 11:14PM Dikemas Kini : 12 Aug 2021 11:23PM

SINGAPURA: Sehingga 500 penonton akan dibenarkan hadir di pertandingan Liga Perdana Singapura (SPL) mulai Jumaat (13 Ogos), ditambah dari 100 sekarang ini.

Jumlah itu akan ditambah lagi menjadi 1,000 penonton mulai 19 Ogos, kata Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam satu kenyataan media pada Khamis.

"Penambahan penonton dari 100 kepada 500 adalah selaras dengan panduan yang diumumkan oleh Sport Singapore pada 7 Ogos. Ia juga sejajar dengan arahan pemerintah untuk melaksanakan kelonggaran secara bertahap-tahap bagi langkah pengurusan selamat," kata FAS.

Bukti sudah divaksinasi sepenuhnya atau ujian pantas antigen (ART) yang negatif perlu ditunjukkan sebelum penonton dibenarkan masuk ke tempat perlawanan.

SYARAT KEMASUKAN

Peminat yang sudah divaksinasi hanya boleh memasuki tempat perlawanan sekiranya perlawanan itu berlangsung sekurang-kurangnya 14 hari selepas mereka menerima dos kedua.

Peminat yang ingin menonton perlawanan dengan menggunakan keputusan ART negatif mesti mengambil ujian daripada pengamal yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan, dan hasilnya mesti sah sehingga akhir perlawanan.

Hasil kit ujian DIY COVID-19 tidak akan diterima, jelas FAS.

Mereka yang sudah pulih daripada COVID-19 akan dikecualikan daripada perlu menunjukkan hasil ART negatif sekiranya hasil ujian reaksi berantai polimerase positif (PCR) pertama mereka kurang dari 270 hari sebelum perlawanan. Bagaimanapun, mereka perlu menunjukkan notis pengecualian ujian pra-acara yang dikeluarkan oleh klinik yang menawarkan khidmat ujian ART atau PCR.

Peminat yang layak boleh membeli tiket fizikal di gerai khas di setiap tempat yang akan dibuka dua jam sebelum bermulanya perlawanan.

Tiket bagi orang dewasa berharga S$8, sementara tiket konsesi dijual pada harga S$5. Jumlah itu adalah harga "dasar" dan kelab boleh mengubah harga hingga maksimum S$15 setiap tiket, kata FAS. Kelab-kelab akan menguruskan semua operasi tiket.

LANGKAH-LANGKAH KESELAMATAN

"Penonton yang hadir perlu mematuhi protokol jarak selamat dan protokol keselamatan biasa di perlawanan, termasuk pemeriksaan beg. Lantas, peminat dinasihatkan agar tidak membawa beg atau barang terlarang apabila menonton perlawanan," jelas FAS, sambil menambah bahawa mereka digalakkan datang awal untuk elak kesesakan.

"Jarak selamat akan dikuat kuasakan di tempat duduk yang diperuntukkan, semua penonton harus sentiasa memakai pelitup, dan makanan serta minuman tidak dibenarkan dalam stadium."

Alat muzik juga tidak dibenarkan di stadium. Bendera dan kain rentang boleh dibawa masuk asalkan ia "tidak melanggar langkah-langkah keselamatan", tambah FAS.

Perlawanan pertama di bawah aturan had 500 penonton adalah pertembungan antara pendahulu SPL, Albirex Niigata dengan kelab di tangga ketiga Hougang United di stadium Jurong East, esok, jam 7.45 malam.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan